Vaksinasi bukan acara larian pecut
TAHNIAH kepada rakyat Malaysia yang kembali berani mendaftar untuk vaksin AstraZeneca fasa dua sehingga menimbulkan kekecohan dan kemarahan mereka yang gagal mendaftar.
Jika ramai yang lupa, vaksin AstraZeneca dikeluarkan daripada program imunisasi kebangsaan susulan saranan banyak pihak pada April lalu agar kerajaan membatalkan pengambilan vaksin tersebut.
Kebimbangan dan penolakan itu sangat mudah difahami kerana terdapat laporan di negara lain mengenai insiden terpencil kes darah beku (blood clot) kepada penerima vaksin dan menyebabkan kematian.
Dari sudut pandangan kerajaan, kebaikan dan keperluan vaksin AstraZeneca yang telah ditempah berjuta-juta dos adalah lebih besar daripada dakwaan beberapa insiden kecil mengenainya yang belum disahkan secara tuntas.
Malah, Agensi Kawalan Penjagaan Kesihatan dan Perubatan United Kingdom (MHRA) menyatakan, nisbah berlaku gumpalan darah adalah empat orang bagi setiap sejuta yang menerima vaksin itu.
Agensi Perubatan Eropah (EMA) pula berpendapat, risiko gumpalan darah adalah satu dalam 100,000.
EMA menyenaraikan kesan sampingan darah beku sebagai kemungkinan ‘kesan sampingan yang sangat jarang’ akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.
Oleh sebab tentangan yang agak kuat, kerajaan tidak mahu memanjangkan kontroversi, lalu memutuskan untuk melakukan pendaftaran berasingan kepada sesiapa berminat.
Tidak banyak kontroversi atau kekecewaan dalam pendaftaran fasa satu kerana rakyat masih bersikap skeptikal terhadap vaksin tersebut.
Namun, kejayaan fasa pertama, diikuti peningkatan kes Covid-19 sehingga mencecah 6,000 sehari dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat telah mendorong keghairahan mendapatkan vaksin dengan cepat.
Bekerjasama
Ia menyebabkan slot fasa kedua untuk mereka di bawah 60 tahun habis sekelip mata.
Dalam fasa dua kali ini, kerajaan dikecam pula kerana tidak menggunakan senarai pendaftaran sedia ada dalam program imunisasi kebangsaan dan sistem pendaftaran tidak cekap.
Namun, masalah terbesar dalam program imunisasi bukan siapa dapat dahulu. Ia bukan lumba lari 100 meter, siapa dapat dulu dia menang.
Ia mengenai semua pihak perlu bekerjasama mendapatkan suntikan vaksin apabila dipanggil.
Kerajaan sudah berjanji akan memenuhi sasaran memvaksin 80 peratus penduduk Malaysia pada akhir 2021.
Menurut laporan, dalam tempoh dua bulan akan datang (Jun dan Julai) Malaysia akan menerima 12 juta dos Sinovac melalui Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), 2.2 juta Pfitzer (Jun sahaja) dan lebih sejuta daripada AstraZeneca.
Justeru, kebimbangan sekarang bukan mengenai vaksin tetapi jumlah pendaftaran secara sukarela masih rendah, di bawah kadar 50 peratus.
Sehingga Jumaat lalu, jumlah mereka yang mendaftar belum mencecah 12 juta orang.
Terdapat pula laporan berpuluh ribu orang tidak hadir dalam janji temu suntikan pertama.
Ramai bersikap sinis jika 10 juta orang belum disuntik sepenuhnya, mengapa sibuk dengan yang belum mendaftar.
Program imunisasi kebangsaan bagi melemahkan pandemik hanya akan berjaya jika kita mencapai kekebalan kelompok (herd immunity).
Kita hanya akan mencapai kekebalan kelompok apabila 80 peratus rakyat mendapat dua dos vaksin Covid-19.
Hanya setelah itu boleh membuka semula ekonomi sepenuhnya.
Jadi, jika hanya 11 juta orang rakyat Malaysia divaksin, kita tidak akan mencapai kekebalan kelompok.
Ia akan menggagalkan proses melindungi semua rakyat daripada pandemik dan memulakan pemulihan ekonomi.
Kerajaan juga memerlukan pendaftaran terlebih dahulu bagi memudahkan urusan janji temu dan mengagihkan vaksin dengan segara sebaik diterima kerana vaksin mempunyai tarikh luput antara tiga hingga enam bulan.
Sebarang penangguhan suntikan bukan sahaja akan menimbulkan isu logistik dan penyimpanan tetapi juga risiko vaksin akan luput sebelum disuntik.
Realitinya, program imunisasi kebangsaan akan gagal jika ramai rakyat tidak mendaftar mengambil vaksin, bukannya kerana kita terlewat mendapatkannya beberapa bulan.
*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!