Total lockdown, vaksin – Ini masanya!
PADA 28 Mei 2021, kerajaan mengumumkan total lockdown mulai 1 Jun sehingga 14 Jun 2021. Ia adalah fasa satu daripada tiga fasa.
Fasa dua menyusul untuk empat minggu selepas fasa satu berakhir dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua fasa itu boleh melibatkan tempoh lapan minggu.
Sama ada kita setuju atau tidak, ia keputusan yang paling baik buat masa ini.
Lebih 400,000 orang termasuk 64,000 kanak-kanak dalam senarai jangkitan Covid-19.
Sisipan PKP 1.0 Mac 2020 jika dihalusi, akan membantu keputusan itu dengan keyakinan dan kepercayaan baharu.
Ketika itu, pendekatan sepadu melihat bagaimana kes tidak naik secara mendadak tetapi mendatar perlahan-lahan.
Strategi dan aktiviti di kawasan ‘panas’ diawasi. Kita belajar daripada PKP 1.0 agar ia jauh lebih baik kali ini.
Ini masanya untuk solidariti kerana kita sudah tidak punya masa.
Kerajaan juga berpeluang untuk reset sistem penyampaian dan diinstitusikan secara rasmi.
Strategi dan intervensi yang bersesuaian walau tidak popular akan membantu kerajaan mendekati lebih banyak kumpulan sasar.
Fasa satu Mac 2020 menunjukkan komitmen rakyat ke atas kerajaan dan pendekatan Perdana Menteri.
Fasa total lockdown boleh memberi peluang untuk menilai semula cara membuat keputusan dan putuskan rantaian wabak.
Perubahan kualiti dan inovasi serta komitmen akan membolehkan kita bergerak bersama.
Penilaian semula fungsi kesihatan, ekonomi dan sosial akan membolehkan kita merealisasikan keputusan proaktif.
Sistem kesihatan tidak boleh roboh. Ia menjadi benteng kita kini. Prevensi adalah tanggungan bersama.
Adakah moratorium (secara automatik) dan beberapa bantuan khas untuk rakyat sebagaimana diberikan sebelum ini boleh dipertimbangkan.
Ia juga akan membantu intervensi ke atas cabaran kemasyarakatan termasuk ketaksamaan sosial yang semakin membesar, khususnya golongan tidak makan gaji dan peniaga.
Kilang mahupun perbankan telah memainkan peranan signifikan dalam total lockdown 1.0.
Bolehkan tanggungjawab sosial bersama ini dikembalikan?
Emosi
Krisis nasional ini sepatutnya menjadi pemangkin kemapanan sistem sokongan kesihatan termasuk kemudahan dan perkhidmatannya.
Strategi asas kita perlu jelas. Jangan diabaikan emosi rakyat yang berdepan tekanan, desakan mental dan hambatan hidup.
Jangan biarkan ada yang putus asa.
Walau berada di bawah total lockdown, dengan kes meningkat, vaksinasi untuk melindungi diri perlu dihebatkan.
Kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan wabak ini di setiap pelosok negara sama ada di pusat mahupun mukim perlu dinilai.
Apakah cara mendekati masyarakat umum untuk vaksinasi ketika total lockdown akan membolehkan pencapaian yang jauh lebih baik, memastikan sistem penyampaian menjadi lebih efektif, tersusun dan lancar.
Rakyat boleh menerima jika ada kekurangan tetapi komunikasi antara pihak berwajib dan orang kebanyakan boleh dibaiki.
Rakyat tidak marah tanpa sebab. Menyedari perkara itu, tindakan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk segera memohon maaf dihormati.
Adakah pelan vaksinasi dari rumah ke rumah akan membantu khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) supaya tidak sesak dan menunggu lama?
Bolehkah vaksinasi diturunkan ke klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta berbanding datang ke Pusat Pemberian Vaksin?
Media sosial boleh melakukan penyiaran positif secara berterusan.
Begitu juga peranan setiap ahli politik di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk galakkan bervaksin?
Kita juga memerlukan pekerja sosial, kaunselor dan sukarelawan sebagai ejen penggerak vaksin.
Ada yang berdaftar tetapi tidak pergi. Yang sudah daftar pula berdepan dengan rebutan peluang.
Air kelapa tidak akan memulihkan ancaman ini. Pemalsuan fakta vaksin adalah berniat jahat.
Kepatuhan SOP, strategi komunikasi berkesan dan penjawat awam memain peranan dalam total lockdown.
Malaysia boleh pelajari daripada beberapa negara berjaya mengawalnya termasuk Taiwan, New Zealand, Iceland, Singapura dan Vietnam.
Kita perlu 'hati’ dan 'emosi’ kali ini.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!