Operasi sanitasi besar-besaran pembaziran sumber daya: Dr Adeeba
SHAH ALAM - Operasi sanitasi awam secara besar-besaran dilakukan di seluruh negara bermula Sabtu merupakan satu bentuk pembaziran sumber daya yang terhad, kata pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Dr Adeeba yang juga Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, terdapat sumber yang boleh disalurkan dengan lebih baik di tempat lain.
“Ini termasuklah bantuan peralatan perlindungan diri (PPE), kanula hidung aliran tinggi (HFNC), alat pengalih udara (ventilator), sat meter oksigen dan makanan untuk sukarelawan,” ciapnya di Twitter pada Sabtu.
Pada Sabtu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan bahawa sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi secara besar-besaran selama dua hari bermula Sabtu susulan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 di Malaysia.
Beliau berkata, operasi itu merupakan satu inisiatif kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain turut memfokuskan operasi di Selangor yang terus mencatatkan kes harian tertinggi.
Sementara itu, kes harian Covid-19 pada Sabtu terus memecahkan rekod baharu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 9,020 kes baharu positif Covid-19 dengan 98 kematian.
Angka tersebut merupakan yang tertinggi selama lima hari berturut-turut bermula Selasa lalu.
Large-scale nationwide sanitisation exercise begins today. There goes resources that could be better channelled elsewhere. Here are a few just of the top off my head. 1. PPE 2. High flow nasal cannulas 3. Ventilators 4. O2 sat meters 5. Food for volunteers https://t.co/sDUzFyAQpd
— Adeeba Kamarulzaman (@ProfAdeeba) May 29, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!