Kurang pematuhan SOP di dalam pasar
GEORGETOWN - Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) pada Mac tahun lalu, Pasar Awam Air Itam antara kawasan yang menunjukkan perkembangan tidak memberangsangkan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Menjelang pelaksanaan PKP 3.0 pada 1 Jun ini, tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar awam termasuk Pasar Awam Air Itam mendapati, orang ramai mengambil peluang untuk membeli barangan basah sebelum pelaksanaan 'total lockdown'.
Di Pasar Air Itam, pembeli membanjiri pasar tersebut untuk membeli barangan keperluan di dalam pasar dan juga di gerai tepi jalan.
Perkara itu menyebabkan keadaan di sekitar pasar tersebut agak sesak dengan kehadiran pengunjung dan kenderaan yang lalu lalang di situ.
Tinjauan mendapati, orang ramai mematuhi penjarakan fizikal hanya ketika beratur untuk memasuki pasar namun keadaan bertukar apabila mereka memasuki pasar.
Pematuhan SOP dilihat agak longgar terutama ketika pengunjung sedang memilih barangan basah seperti ikan, udang, sayur dan sebagainya.
Sementara itu, di bahagian luar pasar tersebut, keadaan agak sesak dengan pengunjung, kenderaan dan juga peniaga yang membuka gerai perniagaan di tepi jalan.
Peniaga, Lim Chong Ee berkata, keadaan di situ adalah 'biasa' ketika hujung minggu kerana pengunjung kebanyakannya suka membeli belah pada hari berkenaan.
"Orang memang akan ramai pada hari minggu. Ini (keadaan) biasa kerana kebanyakan mereka cuti pada hujung minggu.
"Hujung minggu waktu yang sesuai untuk mereka membeli belah di pasar. Keadaan sedikit sesak kerana di sini juga jalan utama selain penggerai seperti saya berniaga di tepi jalan," katanya.
Di Pasar Awam Jelutong dan Pasar Jalan Perak pula, kehadiran pengunjung terkawal yang mana mereka beratur mengikut giliran untuk masuk ke pasar tersebut.
Tinjauan mendapati, setiap pengunjung memakai pelitup muka selain mengimbas kod di aplikasi Mysejahtera sebelum masuk ke dalam pasar.
Bagaimanapun, penjarakan fizikal ketika membeli barangan kurang dipraktikkan oleh pengunjung.
Bagaimanapun kebanyakan penjual mengambil inisiatif meletakkan tong di hadapan gerai masing-masing bagi memastikan penjarakan sosial antara pembeli dengan mereka.
Sementara itu di Pasar Hari Padang Tembak pula didapati, ramai warga emas masih melepak di kerusi batu di bawah flat untuk berbual kosong.
Kebanyakan mereka tidak memakai pelitup muka selain menghisap rokok dan berbual sambil minum kopi tanpa menghiraukan arahan yang dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, polis akan mengarahkan pengerusi persatuan pasar berkenaan untuk menghadkan jumlah pengunjung yang masuk ke dalam pasar pada satu-satu masa.
"Pemantauan akan dilakukan namun jika didapati pihak pasar (peniaga) masih gagal mengawal kesesakan di dalam pasar, kita akan menyarankan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya pasar berkenaan ditutup seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Bagi pengujung pula, diminta menyegerakan urusan jual beli dan menjaga jarak semasa berurusan," katanya.
Soffian berkata, polis akan menjalankan pemantauan secara berkala di pasar tumpuan pengunjung bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.
"Kita tidak meletakkan anggota secara tetap namun akan membuat pemantauan secara berkala.
"Pasar-pasar ini menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengawal keadaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!