Tiada pembaziran vaksin di Kedah
ALOR SETAR - Tiada pembaziran vaksin Covid-19 di Kedah walaupun 10,827 individu gagal menghadiri janji temu menerima suntikan vaksin antara 19 April hingga 22 Mei lepas.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka telah digantikan dengan individu lain yang memenuhi kriteria untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.
"Kita gantikan mereka yang tidak hadir dengan individu yang berada dalam senarai simpanan," katanya kepada pemberita selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini pada Ahad.
Katanya, tiada istilah pembaziran vaksin di Kedah cumanya isu ini dibangkitkan untuk timbulkan kesedaran kepada masyarakat agar hadir menerima suntikan vaksin berkenaan.
"Kita memang ada senarai nama ganti dan diharapkan tiada lagi isu individu gagal hadir janji temu menerima suntikan ditetapkan selepas ini dan mereka dianggap tidak bertanggungjawab jika tidak hadir," katanya.
Beliau menyeru individu yang menerima janji temu bagi suntikan vaksin Covid-19 hadir pada tarikh ditetapkan untuk membina imuniti dalam badan demi membendung penularan Covid-19.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak memilih jenis vaksin dan terpengaruh dengan berita palsu disebarkan melalui Facebook dan WhatsApp yang memburukkan vaksin tertentu.
"Alhamdulillah, kita dapati sambutan masyarakat untuk menerima suntikan vaksin makin baik kerana masing-masing mula berebut-rebut untuk mendapatkan suntikan," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Daerah yang memastikan proses pemberian vaksin berjalan lancar.
"Barisan petugas didapati sentiasa bersiap sedia untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 1,000 penerima setiap hari, misalnya 560 individu pada Ahad dan maksimum sehingga 1,000 individu baru-baru ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak lima klinik kesihatan di Kota Setar dan sebuah klinik swasta diberikan bekalan vaksin untuk memudahkan penduduk tempatan yang sukar hadir ke PPV untuk mendapat suntikan vaksin itu.
"Banyak klinik kesihatan membuat pemohonan menjadi PPV di Kedah dan kita harap apabila semua klinik diberi kelulusan maka proses vaksinasi berjalan lebih cepat dan orang ramai dapat hadir ke klinik berhampiran," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, beliau menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduk di seluruh Kedah akan menerima vaksin sebelum akhir 2021 dan menghadapi pandemik Covid-19 dengan persiapan secukupnya.
Rabu lepas, seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi suntikan vaksin Covid-19 di Kedah dikesan tidak hadir menerima suntikan antara 19 April hingga 22 Mei lalu.
Antara alasan yang diberikan termasuklah tidak memiliki kenderaan ke PPV, kurang sihat, bimbang dan belum bersedia menerima suntikan serta ingin menukar tarikh janji temu pada saat akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!