Pasang kawat duri sepanjang 4 km

Agus Salim (kiri) menunjukkan pelan lokasi taman yang dikenakan PKPD kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman (kanan) di Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Pertama di Sabak Bernam pada Ahad.
Agus Salim (kiri) menunjukkan pelan lokasi taman yang dikenakan PKPD kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman (kanan) di Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Pertama di Sabak Bernam pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Tiga taman perumahan di daerah Sabak Bernam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sudah dipasang kawat duri sejak jam 12 tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kawat duri itu dipasang di Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.

Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan kerja-kerja pemasangan kawat duri sepanjang empat kilometer (km) di tiga taman perumahan yang terletak di lokaliti berhampiran.

"Kawalan ketat ini dilakukan bagi menghalang aktiviti keluar masuk dan memastikan tiada laluan yang boleh ditembusi mana-mana individu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Pertama, di sini pada Ahad.

Agus Salim berkata, penugasan anggota polis di kawasan PKPD meliputi pusat kawalan dan sekatan jalan raya (SJR) akan dijalankan selama 24 jam.

Katanya, hanya satu dari tiga laluan dibuka untuk petugas dan orang awam keluar dan masuk.

"Dua laluan lain telah ditutup dan kita menyediakan salah satu daripadanya dalam keadaan siap sedia jika berlaku kes kecemasan," katanya.

Menurut beliau, seramai 108 anggota meliputi polis, ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela ditempatkan di kawasan PKPD.

Artikel Berkaitan:

"Selain penugasan di pos kawalan dan SJR, polis turut melakukan rondaan pemantauan melalui anggota kereta peronda (MPV) di tiga taman terbabit," ujarnya.

Beliau menegaskan, pemantauan itu dilakukan bagi memastikan penduduk di kawasan PKPD mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Polis mendapati penduduk memberi kerjasama yang baik dengan pasukan keselamatan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!