Terengganu mohon kelonggaran kepada pesawah

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Terengganu akan memohon kebenaran supaya penanam padi di negeri ini diberi kelonggaran turun ke sawah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan bermula 1 Jun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri dalam masa terdekat untuk penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, kelonggaran itu penting supaya padi dapat ditanam seperti biasa mengikut jadual ditetapkan dan pengeluaran beras tidak terjejas.

“Jadual tanaman padi sepatutnya bermula 5 Jun tetapi kerajaan mengumumkan PKP penuh pada 1 Jun. Jika jadual bermula 5 Jun, kita jangka masa tuaian padi ialah hujung bulan Oktober dan sudah hampir tibanya musim banjir.

“Jadi kita harap petani dibenarkan turun ke sawah dalam tempoh PKP penuh supaya padi dapat dituai sebelum banjir,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.

Menurut Dr Azman, terdapat kira-kira 6,000 penanam padi di seluruh Terengganu dengan sebahagian besar kawasan jelapang padi bertumpu di daerah Besut dan Setiu melibatkan keluasan tanaman 4,876 hektar.

Beliau berkata, selain penanam padi pihaknya juga akan memohon kelonggaran sama kepada sektor pertanian lain seperti nelayan dan petani bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan.

“Dari segi pemasaran hasil pertanian seperti buah tembikai pula, kita jamin tiada lambakan besar-besaran sebagaimana PKP pertama tahun lepas. Kebanyakan tembikai sudah dituai dan dianggarkan ada kira-kira 10 hektar lagi.

Artikel Berkaitan:

“Jika ada berlaku lambakan pun, ia tidak banyak dan kita akan tempatkan di pasaran sedia ada seperti pasar tani kekal, Agrobazar, pusat operasi FAMA, MyFarm Outlet dan kemudahan pasaran lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!