Permintaan ayam, ikan dan makanan tin meningkat

Ikan, udang dan sotong antara barang basah yang mendapat permintaan tinggi.
Ikan, udang dan sotong antara barang basah yang mendapat permintaan tinggi.
A
A
A

GEORGETOWN- Ayam segar, ikan, sayur dan makanan dalam tin antara barangan basah yang mendapat permintaan tinggi daripada pembeli dalam persediaan menghadapi Sekatan Pergerakan Penuh ('total lockdown') pada 1 Jun ini.

Pengurus Stor Pasaraya AEON Queensbay, Ruzaidi Zaman Jusoh berkata, selain barangan tersebut, telur, minyak masak, bihun, mi segera dan beras juga laris bak pisang goreng.

Beliau bagaimanapun memberitahu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kesemua barangan keperluan itu mencukupi berikutan pihaknya sudah bersedia sekiranya berlaku pembelian panik selepas pengumuman kerajaan berhubung 'total lockdown' tiga hari lalu.

"Permintaan terhadap barangan keperluan memang meningkat. Antara yang paling laris adalah ayam, ikan, ikan kering, ikan bilis, makanan dalam tin, telur dan mi segera.

"Walaupun permintaan tinggi, bekalan cukup kerana kami telah membuat penambahan bekalan untuk menghadapi pembelian panik. Setakat ini, bekalan mencukupi. Bekalan barangan segar akan masuk setiap hari untuk menampung pembelian pembeli," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sementara itu, peniaga ikan di Pasar Batu Lanchang, Lim Kwan Seng memberitahu, ikan dan udang antara makanan laut paling mendapat sambutan selepas pengumuman 'total lockdown'.

Setakat ini, bekalan makanan laut seperti ikan, udang, sotong dan lain-lain mencukupi.

Sayur yang boleh disimpan lama seperti kobis, terung, timun, petola, peria, lobak dan kentang antara sayuran yang mendapat permintaan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Sejak kerajaan umum (lockdown), pelanggan memang ramai. Kebanyakan mereka membeli sayur yang boleh disimpan dalam tempoh panjang.

"Dari segi bekalan, setakat ini pembekal memberitahu mencukupi. Setiap hari kami menambah bekalan bagi memastikan semua pelanggan dapat membeli keperluan mereka," ujar penjual sayur yang dikenali sebagai Tan.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta orang ramai untuk menghentikan segera pembelian panik terutama bekalan makanan.

Pegawai pendidikan CAP, NV Subbarow menjelaskan, kerajaan telah memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengguna kata beliau, tidak perlu menyimpan stok barangan makanan di rumah masing-masing secara berlebihan.

CAP bimbang sekiranya pengguna terus membeli barangan dengan jumlah yang banyak tanpa kawalan, harga barangan akan meningkat secara mendadak.

"Kita berharap pengguna berhenti membuat pembelian panik kerana sikap ini boleh menyumbang terputusnya bekalan makanan.

"Pengguna harus bertanggungjawab sepenuhnya atas sikap mereka, kerana apabila permintaan untuk barangan keperluan meningkat, harganya juga akan melambung," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya pergi ke pasar sekali seminggu bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!