Perjuangan Perak berakhir?

Kesebelasan PKNP FC
Kesebelasan PKNP FC
A
A
A

SEBAIK wisel penamat ditiup di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan 19 Februari lalu, berakhirlah perjuangan Perak dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Setelah berjaya menewaskan wakil Hong Kong Kitchee SC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 di Stadium Perak 12 Februari lalu, hasrat skuad The Bos Gaurus itu dilihat semakin hampir untuk beraksi di peringkat kumpulan saingan ACL 2019.

Skuad Ulsan Hyundai nyata bukan calang-calang pasukan dan ini dibuktikan pada perlawanan pusingan kelayakan berkenaan apabila menewaskan Perak, 5-1 dan sekali gus mengesahkan slot beraksi dalam Kumpulan H saingan ACL 2019 bersama-sama wakil Australia, Sydney FC, Kawasaki Frontale (Jepun) dan Shanghai SIPG (China).

Biarpun kekalahan berkenaan seakan sudah diduga oleh kebanyakan penyokong termasuk penganalisis sukan bola sepak di negara ini, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat kesebelasan pemain skuad Kejor Yeop Skor itu untuk beraksi cemerlang pada sainga Liga Malaysia (Liga-M) yang sedang berlangsung.

Namun masih banyak yang perlu dilakukan oleh pihak pengurusan itu jika mahu menyaksikan skuad Seladang itu melakar lebih banyak kejayaan musim ini dalam saingan liga domestik berkenaan.

Setelah muncul juara Piala Malaysia musim lalu, cabaran lebih getir pastinya menanti kesebelasan anak didik Mehmed Durakovic itu musim ini untuk mempertahan piala berkenaan.

Bukan sekadar Piala Malaysia, namun misi untuk mendakap semula Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada musim 2004 lalu termasuk trofi Liga Super; satu-satunya trofi yang masih belum menghiasi kabinet di pejabat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Demi merealisasikan misi berkenaan, Perak nyata memerlukan kesebelasan yang mantap di semua posisi.

Artikel Berkaitan:

Namun agak mengejutkan tatkala semua pasukan berlumba-lumba melengkapkan kuota lima pemain import sebagaimana yang dibenarkan oleh oleh pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Perak membuat ketetapan untuk hanya menggunakan empat pemain import musim ini.

Sebahagian kesebelasan Perak
Sebahagian kesebelasan Perak

Tindakan berkenaan mungkin dibuat berikutan aksi cemerlang kesebelasan pemain tempatan, tambahan pula pada saingan Piala Malaysia musim lalu Perak hanya menggunakan tiga pemain import.

Bagaimanapun rekod pencapaian lalu tidak boleh dijadikan ukuran kerana cabaran musim 2019 pastinya lebih getir untuk diharungi dan sudah mula kedengaran suara dalam kalangan agar Perak melengkapkan kuota import kelima pasukan.

Justeru diharapkan akan ada perkhabaran positif berhubung perkara berkenaan kerana saingan Liga-M selepas ini menjanjikan saingan lebih hebat berbanding sebelum ini.

Tindakan sama juga dilihat perlu dilaksanakan oleh skuad berstatus kelab yang mewakili Perak, PKNP FC yang baru-baru ini mengumumkan bakal melengkapkan kuota lima pemian import.

Setelah gagal meraih sebarang kemenangan daripada tiga perlawanan setakat ini, PKNP FC dilihat nekad memburu import kelima pasukan berkenaan.

Menurut ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim, hasrat berkenaan turut mendapat restu daripada Presiden PKNP FC sendiri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin baru-baru ini.

Untuk rekod, PKNP FC telah pun memiliki empat pemain import melibatkan pemain pertahanan dari Tajikistan Siyovush Asrorov, Thomas Abbey (tengah, Ghana) Yashir Pinto (penyerang, Palestin) dan Kalidou Yero (penyerang, Senegal).

Selain itu, PKNP FC turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain Perak musim lalu, Hafiz Kamal serta pemain muda negara, Zafuan Azeman.

Justeru, PKNP FC hanya perlu membawa masuk seorang pemain import bagi melengkapkan kuota pemain import ASEAN.

Tanpa berlengah, pemain berusia 19 tahun dari Filipina, Amana Aguinaldo dibawa masuk menyertai PKNP FC dan sekali gus melengkapkan kuota pemain import ASEAN.

Sementara itu, ketiadaan kapten yang juga penyerang PKNP FC, Ahmad Shahrel Fikri Md Fauzi yang berhijrah mewakili Perak dilihat tidak banyak menjejaskan mutu permainan yang dipamerkan pemain musim ini.

Malah skuad yang berpengkalan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu dilihat masih mampu beraksi baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini hasil gandingan pemain-pemain sedia ada.

Apa pun, kedua-dua pasukan diharap dapat melakukan apa yang terbaik dengan membawa masuk pemain-pemain terutamanya pemain import yang benar-benar berkaliber dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!