Dua lelaki ditahan guna borang rentas negeri palsu
BENTONG - Tindakan dua lelaki menggunakan borang rentas negeri yang disyaki palsu mengundang padah apabila mereka ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong menghala Kuantan, di sini pada Sabtu.
Kedua-duanya merupakan warga tempatan berusia 25 dan 34 tahun ditahan di dalam sebuah kenderaan kira-kira jam 6.30 petang oleh anggota bertugas di SJR tersebut ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala Tanah Merah, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan kedua-dua pelaku terbabit agak meragukan dan disyaki telah dipalsukan.
Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya percaya cop dan tandatangan ketua balai yang meluluskan permit itu disyaki telah dipalsukan.
"Pegawai bertugas telah menghubungi balai polis yang mengeluarkan permit pergerakan untuk pengesahan.
"Semakan di balai mendapati nombor siri pada borang itu tidak wujud dan tiada sebarang permit pergerakan diberikan kepada kedua-dua lelaki itu dan mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (D) Akta Pencegahan dan Kawalan( Akta 342) yang membawa hukuman denda RM4,000 jika sabit kesalahan bagi individu, manakala denda RM20,000 bagi perbadanan/syarikat.
"Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang rentas negeri yang telah diubah suai dengan niat memalsukan dokumen tersebut kerana tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka.
"Sehingga 28 Mei tahun ini, seramai tujuh individu ditahan kerana pemalsuan borang rentas negeri dan kesemuanya ditahan di SJR Tol Bentong menghala Kuantan," jelasnya.
Tambahnya, polis Bentong akan terus memperketatkan pemeriksaan di semua SJR dalam daerah tersebut melibatkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan untuk memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal memandangkan Tol Bentong adalah laluan utama ke pantai timur Semenanjung khususnya dari Lembah Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!