Perkenalkan semula moratorium, pakej kewangan bersasar
ALOR SETAR - Kerajaan diminta untuk memperkenalkan semula moratorium dan penangguhan bayaran hutang pinjaman selama tiga bulan selain memperkenalkan pakej kewangan bersasar kepada semua golongan terjejas selepas pelaksanaan 'total lockdown'.
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, ini kerana sebahagian besar rakyat terutama golongan B40 dan M40 termasuk sektor ekonomi negara bakal terjejas.
Pihaknya juga mahu kerajaan bekerjasama dengan pejabat ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa mengira sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang dalam memastikan kelancaran penyaluran bantuan termasuk informasi program vaksinasi.
“Kita harus lebih serius dan bersatu melawan Covid-19. Penutupan sektor ekonomi bukanlah bermaksud kehancuran ekonomi kerana ia boleh dibina semula selepas ini, tetapi nyawa rakyat tidak boleh diganti semula.
Ini adalah masa kritikal buat rakyat Malaysia. Kita ketepikan perbezaan politik kerana virus ini tidak mengenal fahaman politik, agama, mahupun bangsa,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Kok Yew yang juga ADUN Derga berkata, kerajaan boleh melaksanakan beberapa inisiatif tertentu untuk memastikan seluruh lapisan masyarakat tidak terjejas dengan mengagihkan bantuan ‘bakul makanan’ kepada setiap rumah.
“Bantuan keperluan asas seperti beras, telur, ayam, sayuran, ikan dan bahan mentah lain dilihat agak praktikal kerana boleh mengelakkan sebahagian besar rakyat keluar rumah.
Malah agensi sedia ada seperti Agensi Pengurusan Bencana (Nadma), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pimpinan masyarakat boleh digerakkan untuk membantu agihan di kawasan masing-masing, selain bekerjasama dengan agensi penghantaran seperti Pos Malaysia dan Food Panda,” katanya.
Menurutnya, agihan makanan dapat meredakan pembelian panik di pasar raya seluruh negara selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.
“Angka kes positif harian sangat tinggi ketika ini, PKP menyeluruh serta penutupan sektor ekonomi wajar dilaksanakan. Seperti pelaksanaan PKP pertama dahulu, semua pihak dikehendaki duduk di rumah dan kurangkan pergerakan keluar yang boleh menyebabkan virus merebak. Ia terbukti berjaya apabila negara mencatat sifar kes setelah dua bulan dilaksanakan,” katanya.
Kok Yew berkata, rekod tertinggi kes harian Covid-19 sehingga 9,020 kes serta 98 kematian merupakan angka terbesar pernah dicatatkan sejak pandemik melanda negara Januari tahun lepas.
“Akibatnya, hampir seluruh negara kehilangan status zon hijau dan digantikan dengan zon kuning dan merah.
Kenaikan kes kali ini amat membimbangkan, ia sudah berada dalam komuniti dan bukan hanya kluster tertentu. Malah terdapat pesakit positif Covid-19 tidak bergejala selain munculnya varian baharu yang sifatnya lebih cepat merebak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!