Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada Ahad.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi pada Ahad, menyatakan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi dan amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan sumbangan Allahyarham dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," titah Seri Paduka Baginda berdua yang mengakhiri kenyataan itu dengan #muftiperak #malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti Perak meninggal dunia

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu entri di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira 3 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.

Sebelum ini dilaporkan, Harussani, 82, dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani sedang mendapatkan rawatan di HRPB, sebelum sambutan Aidilfitri berikutan jangkitan Covid-19.

Isteri Allahyaham telah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!