Beras jadi tumpuan pengguna
TEMERLOH - Beras antara barangan paling laris di beberapa kedai dan pasar raya di Mentakab selepas kerajaan mengumumkan total lockdown bermula Selasa ini.
Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Mentakab pada Ahad, mendapati, pihak pengurusan terbabit terpaksa menambah bekalan beras pelbagai jenama sebanyak dua kali sehingga jam 1.30 petang.
Seorang penjawat awam, Manan Mohamad, 58 memberitahu, selain beras, dia juga membeli minyak masak dan makanan kering sebagai persediaan menghadapi 'lockdown' itu.
Surirumah, Che Yusnita Awang, 45, pula keluar awal pagi untuk mendapatkan makanan harian di pasar raya itu bagi membolehkannya membuat persediaan awal untuk keluarga.
"Saya juga turut membeli barangan kering lain seperti minyak masak, gula, sardin dan ikan mengikut bajet yang ada," jelasnya.
Dalam pada itu, ruang menjual barangan basah turut menjadi tumpuan pengguna dan ikan serta ayam antara paling laris.
Sebelum ini, Exco Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Keusahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah memberi amaran supaya peniaga di Pahang tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dalam tempoh pelaksanaan 'total lockdown' bermula 1 hingga 14 Jun ini.
Mereka yang dikesan melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!