Atlet perlu berhati-hati pengambilan ubat

S Kumar
S Kumar
A
A
A

ATLET kebangsaan disaran untuk lebih cakna dan berhati-hati ketika mengambil ubat-ubatan atau suplemen bagi mengelakkan terpalit dengan isu doping.

Bekas penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar berkata untuk itu, atlet perlu memastikan kandungan ubat atau suplemen yang diambil tidak mengandungi bahan terlarang.

“Atlet boleh rujuk dan dapatkan nasihat pakar seperti doktor atau pakar fisiologi selain boleh mendapatkan maklumat di Internet untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai doping.

“Tolong ikut arahan atau nasihat diberikan kepada anda, jika tidak selamat, jangan ambil,” katanya dalam sesi webinar ‘What You Take It’s Your Obligation’ anjuran Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) baru-baru ini.

Beliau turut menasihati atlet agar lebih berwaspada dan tidak terpedaya dengan lambakan ubat-ubatan atau suplemen yang dijual secara dalam talian kerana kandungan yang terdapat dalam produk berkenaan tidak dapat disahkan.

Mengimbas kembali pengalaman pahit terjebak dalam isu doping pada 2017, Kumar mengakui peristiwa itu banyak mengajarnya cara berdepan dengan isu berkenaan.

Pemain dari Tampin, Negeri Sembilan itu berkata beliau sama sekali tidak menyangka minuman coklat yang diambil dari rumah mengandungi bahan terlarang sibutramine yang menjadi punca beliau didapati positif oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) ketika beraksi dalam saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh pada Oktober 2017.

Kumar yang bersara daripada pentas antarabangsa pada tahun lepas bersyukur dapat menegakkan keadilan untuk dirinya apabila hukuman gantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun digugurkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada April 2018.

Artikel Berkaitan:

“Saya agak hairan kerana saya selalu ambil suplemen daripada Institut Sukan Negara dan tidak pernah beli produk dari luar namun siasatan lanjut mendapati ia berpunca daripada minuman coklat dari rumah.

“Minuman itu nampak normal dan saya dapati tidak mengandungi bahan terlarang... namun saya bersyukur selepas menghadiri sesi pendengaran, FIH memutuskan bahan digunakan tidak mempengaruhi elemen meningkatkan prestasi diri,” jelasnya.

Kumar juga mengakui agak terkilan perkara sedemikian berlaku ke atas dirinya sedangkan beliau tidak pernah menipu dengan mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi, sebaliknya hanya fokus menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran yang dimiliki dalam sukan hoki.

Jelasnya, atlet perlu sedar bahawa bendera yang terpampang di jersi mereka mempunyai nilai tinggi dan tidak seharusnya membiarkan imej negara tercemar dengan terlibat dalam kes doping.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!