Kami memang bukan robot

No Image Caption
A
A
A

APABILA pusingan kedua tempahan janji temu untuk vaksin AstraZeneca dibuka bagi penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor serta Kuching dan Miri di Sarawak, platform media sosial dibanjiri pelbagai luahan, kekecewaan, kritikan serta pandangan terhadap sistem yang banyak kepincangan teknikal.

Bukan senang untuk berebut mendapatkan slot daripada sejuta dos yang disediakan untuk fasa kedua ini sebagaimana dimaklumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ramai yang menunggu sejak hari sebelumnya lagi. Kegelisahan bertambah apabila waktu yang dijadualkan pada 12 tengah hari dianjak pula ke 12.15 tengahari. Kesudahannya, ramai yang menghadapi masalah dan melahirkan rasa kecewa di platform media sosial apabila mereka gagal memilih negeri, pusat pemberian vaksin (PPV) dan tarikh janji temu.

Selain itu, ramai yang meluahkan rasa kesal kerana perlu meyakinkan sistem bahawa mereka sememangnya manusia, bukannya robot. Ada yang membuat ciapan di Twitter, “Rasanya dekat 25 kali aku terpaksa mengaku aku bukan robot hari ini. Tak pernah seteruk ini aku diragukan tentang kemanusiaan aku.”

Sudahlah perlu mengaku diri bukan robot, butang berkenaan juga tidak berfungsi dengan betul. Dalam banyak-banyak cubaan menghantar permohonan, arahan memilih imej tertentu hanya keluar sekali bagi sesetengah pengguna.

Kita sering menggunakan laman web atau aplikasi yang menggunakan Captcha, singkatan untuk Completely Automated Public Turing test to tell Computers and Humans Apart. Captcha berperanan membezakan antara pengguna sebenar dengan pengguna automatik yang dikenali sebagai Bot, singkatan bagi Robot tanpa badan kerana ia merupakan program yang berjalan secara automatik menggunakan kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Captcha akan memberikan permasalahan yang sukar bagi Bot tetapi mudah bagi manusia. Antaranya, mengenal pasti huruf atau nombor, atau imej-imej tertentu. Captcha tradisional yang menggunakan huruf dan nombor mempunyai kebarangkalian agak sukar untuk dijawab oleh manusia. Saya sendiri sukar mengenal pasti huruf yang disengetkan atau bertindih dan sering kali perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya.

Captcha berdasarkan imej telah dibangunkan bagi menggantikan huruf dan nombor. Antara elemen grafik yang digunakan ialah gambar binatang, bentuk serta pemandangan. Kebiasaannya, pengguna diminta untuk memilih imej yang menepati atau bertentangan dengan tema tertentu. Contohnya, memilih gambar yang ada kucing daripada sembilan imej yang diberikan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana bagi mereka yang ada masalah penglihatan atau mata yang kabur? Sebagai alternatif, Captcha menggunakan audio telah dibangunkan; biasanya bagi memilih kombinasi huruf atau imej. Pengguna hanya perlu mendengar rakaman audio dan memasukkan jawapan seperti yang diminta oleh sistem. Selain itu, ada juga Captcha yang menggunakan permasalahan matematik seperti “2 x 5” atau “3 + 4”. Itu sedikit sebanyak tentang Captcha yang kerap digunakan kini.

Berbalik kepada sesi pendaftaran vaksin AstraZeneca fasa kedua, tahniah kepada mereka yang berjaya mendaftar dan mendapat tarikh janji temu. Kepada mereka yang tidak berjaya, usahlah berputus asa. Daftarlah dalam aplikasi MySejahtera kerana vaksin akan terus dimasukkan dengan matlamat seramai mungkin rakyat Malaysia akan mendapat vaksin.

Semoga lebih ramai lagi akan mendaftar untuk mendapatkan vaksin, terutama mereka yang berumur 18 tahun ke atas, agar negara kita dapat mencapai imuniti kelompok apabila kira-kira 80 peratus rakyat sudah mendapat dua dos vaksin.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!