Rasuah musnahkan nilai moral
SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyifatkan rasuah ibarat kanser kerana ia boleh memusnahkan nilai moral masyarakat selain merosakkan sistem pentadbiran dan pembangunan negara.
Koordinator Projek UNI-MLC, Hanum Abdul Ghani berkata, jika rasuah tidak dibanteras daripada sekarang, maka perkara negatif itu akan menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat di negara ini.
“Justeru, pentingnya kita berganding bahu untuk memerangi amalan rasuah ini daripada terus bermaharajalela,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Hanum turut menggesa semua pihak bekerjasama dalam menggerakkan kempen antirasuah secara besar-besaran di negara ini supaya aktiviti negatif tersebut dapat diatasi dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, dengan adanya kempen seumpama itu ia secara tidak langsung mampu mencegah amalan rasuah dalam kalangan masyarakat sama ada di peringkat atasan mahupun peringkat bawahan.
“Kita perlu adakan program kesedaran terlebih dahulu kerana bila kita tak buat, orang akan ingat amalan rasuah ini satu perkara biasa.
“Untuk atasi masalah ini, semua pihak perlu mainkan peranan masing-masing dengan melaksanakan kempen kesedaran secara besar-besaran.
“Bila dah ada kesedaran mereka akan fikir benda itu salah. Kalau mereka buat, apa kesannya kemudian,” katanya.
Hanum berkata, kesedaran rasuah menerusi pendidikan juga penting khususnya bagi golongan muda pada hari ini.
Tegas beliau, ia perlu diterapkan sejak mereka berada di bangku sekolah lagi bagi melahirkan nilai moral dan juga integriti yang tinggi dalam diri masing-masing.
“Ini kerana golongan inilah yang akan membentuk kepimpinan masa hadapan dan sangat penting untuk kita terapkan perkara ini sejak mereka kecil lagi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hanum turut mencadangkan supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat.
“Mana-mana individu yang didapati bersalah kerana memberi dan menerima rasuah, masing-masing harus dihukum dengan hukuman yang lebih setimpal.
“Sebagai contoh, penjara lebih daripada dua tahun atau tingkatkan kadar hukuman denda. Jika RM10,000 tidak memadai, maka tingkatkan lagi jumlah tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!