MOM kekal fokus persediaan ke Tokyo

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia antara atlet yang akan mengalas cabaran Malaysia di Tokyo.
Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia antara atlet yang akan mengalas cabaran Malaysia di Tokyo.
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) meneruskan persediaan bagi atlet termasuk pegawai pasukan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, segala persiapan akan tetap berjalan seperti biasa seperti proses vaksinasi bagi atlet dan pegawai, sesi latihan dan persiapan lain ke temasya sukan terbesar dunia itu.

“Di peringkat MOM, kita berpendirian Sukan Olimpik akan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan oleh penganjur sebelum ini. Jadi kita akan teruskan persediaan untuk memastikan semua atlet dan pegawai kontinjen berada dalam keadaan bersiap sedia untuk ke Olimpik kali ini.

“Kesemua persiapan ini pastinya akan turut melibatkan proses vaksinasi, latihan dan lain-lain dalam usaha menjamin keselamatan mereka terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Mohamad Norza berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kaji selidik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) berhubung kewajaran Sukan Olimpik 2021 Tokyo dibatalkan.

Malah menurut Mohamad Norza, kaji selidik sedemikian turut dilaksanakan di Jepun yang menyaksikan kebanyakan rakyat negara matahari terbit itu juga tidak bersetuju diadakan temasya terbesar dunia berkenaan.

“Saya tahu mengenai perkara ini, dan Presiden SAM, Ismadi Abdul Manap telah pun menghubungi saya. Perkara ini bukan asing, malah di Jepun pun kita lihat ramai rakyatnya yang tidak setuju Sukan Olimpik Tokyo dianjurkan dan hanya 14 peratus rakyat yang bersetuju,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Norza memaklumkan MOM bersama Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sedang dalam perbincangan dengan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) bagi memberikan peluang kepada atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Norza, pihaknya berharap supaya Jun Hoong akan diberikan ruang untuk beraksi di Olimpik biarpun memahami perubahan kuota ditetapkan FINA berikutan situasi semasa khususnya peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia pada ketika ini.

“Kita di peringkat MOM dan juga ASUM, masih bekerja keras berhubung dengan FINA untuk menentukan bahawa mereka memberikan peluang kepada atlet kita khususnya Jun Hoong untuk layak ke Olimpik.

“Kita juga memahami keadaan pandemik yang ‘unprecedented’ iaitu yang tidak pernah kita lalui di mana sebelum ini kuota kita perolehi memang agak mudah, namun proses kelayakan itu telah banyak dibatalkan berikutan situasi Covid-19 yang begitu meruncing.

“Apa pun, kita akan terus berusaha supaya apa sahaja slot yang ada akan diberikan kepada Jun Hoong dan juga atlet lain untuk beraksi di Olimpik,” katanya.

FINA sebelum ini menetapkan kuota 12 atlet terjun terbaik pada Piala Dunia Tokyo April lalu layak ke Olimpik berbanding 18 atlet terjun bagi kuota sebelum ini.

Untuk rekod, Jun Hoong menamatkan saingan saingan separuh akhir 10m individu platform Piala Dunia Tokyo pada kedudukan ke-18 baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!