‘Letak individu di tempat yang betul’
SHAH ALAM - Orang politik yang tidak kompeten tidak akan berupaya menggerakkan organisasinya ke tahap yang lebih cemerlang.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, perlu meletakkan individu yang betul di tempat yang betul.
Katanya, dalam isu lantikan pengerusi dan anggota lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLiC), Malaysia sewajarnya mencontohi negara-negara lain yang hebat.
“Mana ada negara yang pakai letak sahaja pengerusi atau anggota lembaga pengarah GLC atau GLiC mereka sebaliknya pemilihan dibuat berdasarkan latar belakang dan ilmu yang dimiliki individu terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas desakan agar amalan melantik orang politik yang tidak kompeten sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah GLC dan GLiC dihentikan segera.
Beliau berkata, individu yang dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah dalam GLC dan GLiC wajib memiliki dua kriteria iaitu berilmu dan amanah.
Dengan dua kriteria itu, katanya, individu berkenaan mampu melakukan tugas dengan penuh kompeten.
“Mereka yang duduk di kerusi itu wajib ada ilmu berkaitan syarikat yang diterajui kerana kalau tidak ada ilmu macam mana dia mahu gerakkan syarikat tersebut.
“Individu berkenaan juga perlu dipastikan sebagai seorang yang amanah kerana dengan integriti yang dimiliki ia menjamin tadbir urus korporat yang baik,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri berpandangan, amalan memberikan terlalu banyak jawatan kepada orang yang sama dalam anak syarikat GLC atau GLiC juga wajib dihentikan serta-merta.
Menurut beliau, perbuatan itu akan menimbulkan konflik kepentingan yang sekali gus menjadi punca ketidakcekapan tadbir urus korporat.
Katanya, sekiranya lantikan untuk jawatan terbabit adalah berdasarkan kelayakan, ilmu dan pengalaman seseorang individu serta tidak dilakukan secara semberono ia akan mengubah wajah GLC dan GLiC itu sendiri.
“Menerusi cara ini kita juga dapat mengelakkan ketirisan daripada berlaku,” kata beliau.
ARTIKEL BERKAITAN: GLC bukan habuan orang politik
Orang politik didakwa kuasai Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!