Selangor buka PPV besar-besaran Jun ini
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersetuju untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di sekitar negeri tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berbincang di PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Ahad tentang cara meningkatkan kadar vaksinasi di negeri tersebut.
Mereka menerusi satu kenyataan bersama berkata, PPV berkenaan akan dibuka secara berperingkat bermula minggu kedua bulan Jun ini.
“Hasil perbincangan turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik antara kerajaan Selangor dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membolehkan PICK berjalan dengan lancar, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Amirudin dan Khairy turut berbincang berkenaan isu pendaftaran vaksin AstraZeneca tempoh hari.
Ujarnya, individu yang terkesan akibat penggantian janji temu vaksinasi AstraZeneca dan tidak bersetuju dengan perkara tersebut akan diberikan janji temu yang baharu.
Tambahnya, kerajaan Selangor memaklumkan bahawa pihaknya melaksanakan pendaftaran vaksin AstraZeneca bagi individu yang mendaftar di bawah Program Outreach Imunisasi Covid-19 (Imunisel) bagi golongan tanpa akses digital mendaftar vaksin secara ‘offline’.
“Namun begitu, tempahan slot vaksin AstraZeneca menerusi Imunisel dibuat secara sukarela atas persetujuan dan pemahaman setiap individu terhadap vaksin tersebut.
“Jadi, terdapat beberapa individu yang menerima temu janji vaksinasi selain AstraZeneca terlebih dahulu, digantikan dengan janji temu baharu bagi vaksin AstraZeneca tanpa pengetahuan mereka.
“Bagi menyelesaikan isu ini, pihak Imunisel bersetuju untuk menyerahkan senarai nama individu yang didaftarkan tempoh hari untuk dihubungi oleh pihak CITF bagi mendapatkan persetujuan menerima vaksin AstraZeneca,” kata kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, jelas kenyataan tersebut, individu yang terkesan akibat penggantian janji temu dan tidak bersetuju dengan janji temu baharu yang diberi akan dikemukakan janji temu terdahulu semula.
Ujarnya, satu ciri tambahan di aplikasi MySejahtera akan dibangunkan dalam masa terdekat bagi membolehkan individu yang menerima janji temu baharu menggantikan janji temu terdahulu dan boleh memberi maklum balas serta mendapat penyelesaian segera.
“Tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SELangkah seperti yang didakwa oleh beberapa pihak baru-baru ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!