Pekerja ibu Neelofa mohon maaf

Tangkap layar kenyataan permohonan maaf daripada Zulshafiqah Zulkifli.
Tangkap layar kenyataan permohonan maaf daripada Zulshafiqah Zulkifli.
A
A
A

SHAH ALAM - Pekerja kepada ibu selebriti Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed pada Ahad tampil membuat permohonan maaf dan mengaku bertanggungjawab ke atas status di Instagram yang didakwa mempertikaikan niat dan saranan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai cadangan sekatan penuh bersasar bagi menangani kebimbangan lonjakan penularan Covid-19.

Status yang dikatakan dimuat naik oleh Zulshafiqah Zulkifli melalui Instagram ibu usahawan dan selebriti terkenal itu tular di media sosial pada Ahad.

"Saya dengan ini bahawasanya ingin menyatakan permohonan maaf saya berkenaan isu yang telah tular di media sosial hari ini berhubung tangkap layar di media sosial Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed," katanya.

Pengurus media sosial itu juga menyatakan permohonan maaf kepada Sultan Johor dan seluruh kerabat diraja Johor termasuk keluarga Noor Kartini atas kekhilafannya.

"Saya secara jujur ingin menjelaskan keadaan sebenar yang telah berlaku. Saya merupakan pengurus media sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini telah tersilap memuat naik tangkap layar itu.

"Tangkap layar tersebut bertujuan untuk rujukan saya sahaja tiada sebarang niat untuk dimuat naik di Instagram Datin Noor Kartini mahupun Instagram peribadi saya," ujarnya.

Dia juga menafikan dan menjelaskan gambar dan tulisan asal yang dipaparkan bukan dari penulisannya mahupun Noor Kartini sendiri.

Sebelum ini, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dipercayai memuat naik status di akaun Instagram yang didakwa ada kaftan dengan isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Tengku Temenggong pada Ahad menyentuh soal adab yang dikatakan tidak boleh dijual beli.

"Sesungguhnya adab itu tidak akan boleh didapati dengan jual beli, akan tetapi ia adalah suatu yang terbit di dalam hati setiap insan yang dididik dengan baik..."

Noro Kartini kemudian tampil dengan kenyataan menjelaskan perkara berlaku disebabkan kecuaian pekerjanya yang mempunyai akses mengendalikan akaun Instagramnya.

Satu laporan polis turut dibuat oleh Noor Kartini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara tersebut.

"Berhubung tangkap layar dari media sosial (Instagram story) saya yang tersebar berkenaan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada media sosial (Instagram) saya," katanya.

Katanya, individu yang dimaksudkan itu merupakan pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd yang secara tidak sengaja telah memuat naik Instagram Story tanpa menyedari menggunakan akaun @noorkartini.

"Kepada Istana Negeri Johor terutamanya DYMM Tuanku Sultan Johor dan seluruh ahli keluarga Diraja, patik merafak sembah memohon maaf di atas kecuaian yang terjadi," kata kenyataan tersebut yang dimuat naik di Instagram Noor Kartini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!