Lebih 80,000 kanak-kanak dijangkiti Covid-19

Lebih 80,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun di seluruh negara telah dijangkiti Covid-19. - Gambar hiasan
Lebih 80,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun di seluruh negara telah dijangkiti Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Lebih 80,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun di seluruh negara telah dijangkiti Covid-19 sejak pandemik bermula.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tiada di antara golongan itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Bagi umur 13 hingga 17 tahun, mereka yang telah dijangkiti adalah 27,402 orang," katanya pada sidang akhbar mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di sini pada Isnin.

Menurutnya, seramai 26,851 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dijangkiti wabak itu sementara 8,237 yang dijangkiti berumur lima dan enam tahun.

"Seramai 19,851 yang dijangkiti adalah bayi sehingga usia empat tahun," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak merupakan golongan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi dan mudah mendapat jangkitan.

"Jika ada ibu bapa yang ingkar kepada prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan kanak-kanak dijangkiti, kertas siasatan boleh dibuka mengikut Akta 342," katanya.

Mengulas mengenai jangkitan pada minggu epid ke-21, Dr Adham berkata, sebanyak 53,419 kes direkodkan dengan purata 7,631 kes setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Ia meningkat sehingga 37.7 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Menurutnya, sebanyak 451 kes kematian turut dilaporkan bagi tempoh sama dengan purata 64 kematian sehari.

"Terdapat peningkatan 35.4 peratus berbanding minggu epid ke-20," katanya.

Bagi ujian saringan Covid-19, Dr Adham berkata, sebanyak 11,867,335 saringan telah dilakukan pihaknya.

"Sebanyak 767,209 saringan dilakukan pada minggu epid ke-21 di mana terdapat peningkatan 17.1 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Tambah Dr Adham, sebanyak 774,863 individu dari seluruh negara telah disampel dengan 53,419 didapati positif Covid-19.

"Pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang dilaksana esok, KKM akan meningkatkan saringan kontak rapat khususnya di Lembah Klang dengan mewujudkan pusat-pusat persampelan dalam komuniti.

"RTK-Ag akan digunakan bagi mempercepatkan pengenalpastian kes supaya pencegahan penularan jangkitan dalam komuniti dapat dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!