Ops Selamat: Kemalangan maut menurun
TANGKAK - IPD Tangkak berjaya mencatatkan penurunan bagi Kempen Ops Selamat yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, statistik perbandingan Ops Selamat ke-12 dan 14 menunjukkan penurunan daripada segi kemalangan maut.
“Pada Ops Selamat ke-12, sebanyak tiga kematian direkodkan dalam kemalangan maut pada perayaan Tahun Baharu Cina lalu. Namun bagi tahun ini, hanya satu kematian sahaja iaitu di Kilometer 149.6 arah Utara.
“Bagaimanapun, jumlah kemalangan biasa dilihat sedikit meningkat iaitu 104 kes berbanding 99 kes tahun lalu,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, bagi kadar saman trafik sepanjang tempoh dua minggu, IPD Tangkak juga mencatatkan penurunan dengan hanya 1,284 saman dikeluarkan.
“Angka ini menunjukkan perbezaan sehingga 430 di mana dalam tempoh Ops Selamat tahun lepas, 1,714 saman trafik telah dikeluarkan.
“Selain itu, kesesakan trafik juga tidak serius dan kempen rumah selamat juga berjalan lancar,” katanya.
Pada tahun ini, Ops Selamat bagi perayaan Tahun Baharu Cina yang dilaksanakan PDRM di seluruh Malaysia telah berkuatkuasa sejak 29 Januari hingga 12 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!