JKN, PKD diberi kebebasan percepat pemberian vaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memberi kebebasan kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk menggunakan apa jua kaedah bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk setempat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah pemerkasaan itu termasuk unit bergerak ke lokaliti.

"Kalau penduduk tidak boleh keluar, kita gerakkan 'mobile' unit kepada mereka," katanya dalam sidang akhbar mingguan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, pada Isnin.

Menurutnya, langkah tersebut telah dilaksanakan oleh Terengganu dengan menjalankan vaksinasi dari rumah ke rumah.

"Beberapa hari lalu Terengganu telah mendapat kebenaran CITF dan ia berjaya dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 20 peratus ketidakhadiran ke pusat pemberian vaksin (PPV) direkodkan di seluruh negara.

"Antara puncanya adalah masalah pengangkutan selain sikap suka tangguh," katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy menggesa orang ramai membuat semakan alamat di aplikasi MySejahtera selepas timbul isu individu yang mendaftar vaksin diberi janji temu di negeri lain.

Artikel Berkaitan:

"Ketika pendaftaran dibuat, individu terbabit menggunakan Google Maps API untuk menetapkan lokasi masing-masing dengan menaip nama taman perumahan atau lokasi mereka," katanya.

Menurutnya, sebagai contoh ada seseorang menetap di Taman Bahagia di Kuala Lumpur dan menaip Taman Bahagia.

"Jadi semua Taman Bahagian di Malaysia akan disenaraikan sebagai cadangan Google Maps API," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menambahbaik MySejahtera dengan meletakkan ciri tambahan untuk pengesahan alamat termasuk negeri dan poskod.

"Mesej saya kepada pengguna MySejahtera, sila kemas kini alamat anda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!