Kerajaan pinda kadar royalti silika
Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bayaran bagi 1 tan silika selama ini adalah sebanyak RM1.50.
Dengan pindaan itu, kerajaan menetapkan kadar bayaran royalti RM5 bagi satu tan silika untuk kegunaan dalam negeri dan RM10 satu tan bagi silika yang dieksport ke luar negara.
“Kadar baharu ini akan berkuat kuasa setelah diwartakan pada Disember ini," katanya menjawab soalan tambahan Hilmi Harun (Pas-Manir) tentang perancangan kerajaan meningkatkan hasil dari sumber silika di persidangan Dun hari ini.
Menurut Tengku Hassan, kerajaan juga akan meneliti caj pengalihan pasir silika yang sebelum ini hanya dikenakan sebanyak RM1 bagi setiap kenderaan digunakan untuk mengalihkan bahan berkenaan ke kawasan lain.
“Sama ada lori, van, semuanya dicaj RM1 bagi setiap kenderaan yang keluar dari kawasan itu. Ini sangat tidak betul dan kita bercadang meminda caj ini,” katanya.
Menjawab soalan jumlah hasil yang diperolehi dari pasir silika di Terengganu dari Januari 2014 hingga September 2018, beliau memaklumkan kerajaan menerima hasil lebih dari RM385,000 sepanjang tempoh berkenaan.
Hasil itu merupakan bayaran kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri dan royalti diterima Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Menyedari potensi yang ada pada industri silika kata Tengku Hassan, kerajaan akan menetapkan dasar baharu mengenai silika sebagai panduan kepada pelabur-pelabur yang berminat menanam modal dalam bidang tersebut.
“Dasar baharu ini, kita harap pelabur akan lebih jelas tentang kehendak kerajaan terhadap silika dan kita jangka industri silika mampu memberi pulangan besar kepada kerajaan negeri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!