Robot jururawat

Kehadiran Nan, Nee dan Nim telah membantu meringankan tugas dan operasi sebuah pusat perubatan di Bangkok

No Image Caption
A
A
A

SEBUAH hospital di thailand memecah tradisi apabila membawa tiga robot jururawat bekerja.

SEKALI imbas, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihat. Sekumpulan jururawat yang berupa robot sedang berlegar-legar di pekarangan Hospital Besar Mongkutwattana, Bangkok, Thailand.

Pihak hospital mengambil keputusan menggunakan teknologi robotik selepas berhadapan dengan ramai pesakit baharu dan sudah tidak mampu lagi mengupah kakitangan yang cukup pada penghujung tahun lepas.

Daripada mengupah tenaga manusia, pihak hospital nampaknya lebih selesa membeli tiga jururawat robot bagi menangani masalah mereka itu.

Menurut jurucakap hospital terbabit, Dr Riantong, ketiga-tiga jururawat robot itu diberi nama Nan, Nee dan Nim.

“Mereka ini merupakan inovasi teknologi baharu dari Shenzhen, China dan ia sejenis teknologi mudah alih atau kenderaan berarah automatik,” katanya.

Ikut arahan

Riantong berkata, penampilan robot-robot ini saling tidak tumpah seperti jururawat sebenar apabila memakai pakaian lengkap seragam jururawat berwarna kuning.

Tugas utama robot ini membawa kertas kerja dan ubat-ubatan kepada doktor. Bagaimanapun, ujar beliau, ia bukan bertujuan mengambil alih sepenuhnya tugas kakitangan di hospital itu.

“Robot ini akan bergerak sebanyak tujuh atau lapan stesen di hospital menerusi laluan magnetik yang ditampal pada lantai. Ia turut dilengkapi dengan sensor di mana robot ini akan berhenti jika seseorang atau objek menghalang jalan,” katanya seperti dipetik dalam sebuah artikel antarabangsa.

Artikel Berkaitan:


Selain itu, Nan, Nee dan Nim mampu menaiki lif dengan sendirinya dan boleh berkomunikasi dalam bahasa Thailand dan Cina.

Juruteknik akan menyelenggara robot ini melalui skrin sentuh terdapat pada robot.

Kurang kesilapan

Riantong menambah, penggunaan robot ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan dilakukan oleh manusia.

Malah membantu meningkatkan kecekapan dan prestasi bekerja di hospital.

Turut memberi penjelasan ialah Pakar Sains Neuro, Dr Naennaa. Beliau berkata, pihaknya merancang memperluaskan lagi penggunaan robot ini di bahagian farmasi supaya ia dapat menyusun dan mengambil ubat-ubatan.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Dasar Awam Britain, penggunaan robot dalam hospital sebenarnya dapat menjimatkan kos sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak 12 bilion pound sterling (RM63 bilion setahun). Ia memberi kelebihan penyediaan masa sebanyak 30 peratus kepada doktor dan jururawat dalam mendapatkan latihan dan melakukan penjagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!