'Kekal jawatan hingga akhir hayat'

KENANGAN... Sultan Nazrin (kiri) bersama Allahyarham Harussani (kanan) pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pada 2015. - Foto Bernama
KENANGAN... Sultan Nazrin (kiri) bersama Allahyarham Harussani (kanan) pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pada 2015. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah beberapa kali menyuarakan hasrat menamatkan perkhidmatan sebagai Mufti Perak untuk memberi peluang kepada orang lain sebagai pengganti.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak mendapat perkenan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang berkehendak agar beliau kekal sebagai Mufti Perak sehingga akhir hayat.

Perkara itu dikongsi anak keempat Allahyarham Harussani, Naelah, 47, yang memberitahu bapanya pernah menceritakan bahawa baginda tidak bersetuju dengan keputusannya untuk bersara.

"Walaupun dah pencen wajib kira-kira 20 tahun lalu, kontrak abah masih disambung beberapa kali sampaikan abah kata sudah la tu Tuanku, bagi peluang pada orang lain pula, tetapi Tuanku tak setuju.

"Almarhum Sultan Azlan mahu abah kekal sebagai Mufti, bila ditanya sampai bila, Tuanku kata sampai mati," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini pada Isnin.

Menurutnya, kata-kata Tuanku itu mungkin dalam keadaan bergurau tetapi ia diperkenan sehingga kini oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Bila kesihatan abah mula merosot, tanggungjawab sebagai Mufti tetap dilaksanakannya meskipun dilakukan dari rumah.

"Kadang-kala ada juga orang tanya, sampai bila (sebagai Mufti Perak), kami cuma boleh jawab wallahuaklam sehinggalah semalam (Ahad) abah pergi meninggalkan kita semua," katanya.

Artikel Berkaitan:

Naelah turut berkongsi, hubungan bapanya dengan Sultan Nazrin amat rapat seperti hubungan ayah dan anak yang mana baginda tidak pernah gagal mengunjungi kediaman mereka setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

"Kelazimannya sebelum ini, raya pertama, Sultan Nazrin mesti datang ke rumah, setiap kali berjumpa, baginda akan peluk abah.

"Cuma tahun lepas sahaja rutin itu tidak dapat dilakukan sebab Covid-19. Jika tidak, memang baginda datang bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim," katanya.

Mengimbau kenangan bersama bapanya, Naelah berkata, Allahyarham yang dikenali mempunyai perwatakan tegas itu sebenarnya suka melawak dan sering berkongsi cerita hantu dengan anak-anak.

"Tetapi bukanlah cerita rekaan, memang peristiwa dialaminya sepanjang menjalankan kerja-kerja dakwah.

"Dulu mana ada lebuh raya, hotel pun banyak yang baru jadi ada banyaklah koleksi cerita hantunya," katanya.

Allahyarham Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 dan telah memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!