Kerjasama rakyat penentu kejayaan 'total lockdown': MKN
KUALA LUMPUR - Bermula Selasa, rakyat sekali lagi akan menjalani sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' selama dua minggu, sebagai usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.
Berdasarkan kemahuan dan aspirasi bersama itu, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaannya memerlukan kerjasama dan tindakan bersama daripada seluruh rakyat di negara ini.
“Rakyat keseluruhan mesti bersikap jitu dalam kesatuan. Saya yakin kemahuan ini telah ada dalam kalangan seluruh rakyat, oleh itu kerajaan menyeru dan merayu marilah kita bersama-sama menggunakan fasa ini supaya kita patuh semua SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan, dan dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Malaysia Petang Ini (MPI) siaran Bernama TV bertajuk 'Total Lockdown: Terus Berjuang, Kita Menang' di sini pada Isnin.
Rodzi berkata, walaupun pelaksanaan sekatan pergerakan penuh kali ini tidak seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lepas, namun pihaknya yakin kadar kepatuhan rakyat akan menjadi lebih tinggi, dan negara dapat memenangi usaha untuk membendung penularan Covid-19.
Katanya, kerajaan tentulah harapan yang tinggi daripada keseluruhan rakyatnya ialah, supaya rakyat menyambut seruan ini dan berperanan sewajarnya kerana langkah sekatan itu adalah kemahuan dan aspirasi bersama dan memerlukan tindakan bersama.
Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 pada Jumaat lepas memutuskan, untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi fasa pertama, di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Total lockdown di seluruh negara bermula 1 Jun
Mengulas mengenai beberapa 'kelonggaran' yang diberikan antaranya kebenaran melakukan aktiviti riadah seperti senaman dan jogging, Rodzi berkata keputusan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Kita faham tujuan kita melaksanakan 'total lockdown' ialah untuk memerangi rantaian Covid-19. Oleh itu, seruan dan permintaan kerajaan supaya kita berada di dalam rumah masing-masing dan jangan keluar untuk tujuan yang tidak penting dan tidak bersifat kritikal.
“Namun begitu, kita faham bahawa apabila kita berada di rumah dalam satu tempoh yang lama, kadar kegelisahan akan berlaku pada keluarga tertentu. Dalam hal ini untuk tujuan kesihatan, kita benarkan riadah ini tetapi secara ketat dan dikawal sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik, berikutan sektor makanan dan minuman beroperasi seperti biasa, sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!