Sivanesan didakwa salah guna Jata Persekutuan

Sivanesan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datuk pada Isnin atas pertuduhan menggunakan lambang Jata Persekutuan tanpa kebenaran dan surat peguam palsu. - Foto Bernama
Sivanesan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datuk pada Isnin atas pertuduhan menggunakan lambang Jata Persekutuan tanpa kebenaran dan surat peguam palsu. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Presiden Pertubuhan Organisasi Kebajikan Rakyat Malaysia, T Sivanesan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datuk di sini pada Isnin atas pertuduhan menggunakan lambang Jata Persekutuan tanpa kebenaran dan surat peguam palsu.

Sivanesan, 34, mengaku tidak bersalah selepas kesemua 16 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Dia didakwa atas 15 pertuduhan memiliki kad nama dirinya yang mempunyai lambang Jata Persekutuan tanpa kebenaran yang sah mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama 1963 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sivanesan dituduh melakukan perbuatan itu di Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat pada jam 10.10 pagi, 13 Mei lepas.

Tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan menggunakan surat peguam yang palsu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 kanun sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sivanesan dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat bahagian pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada jam 3.30 petang, 30 Mac lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap satu pertuduhan menggunakan lambang Jata Persekutuan dan RM10,000 bagi pertuduhan dokumen palsu berserta seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehhuddin manakala tertuduh diwakili peguam P Vishnuvarman. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!