Suspek ditahan polis perlu jalani pemeriksaan kesihatan: KPN
KUALA LUMPUR - Suspek yang ditahan oleh anggota polis perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengelak insiden tahanan meninggal dunia di dalam lokap.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua pegawai penyiasat atau anggota yang menahan individu berkenaan juga perlu menyemak faktor kesihatannya daripada waris.
"Kita memandang serius berkaitan isu tahanan meninggal dunia di dalam lokap, kita juga tidak mahu insiden itu berlaku lagi," katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini pada Isnin.
Menurutnya, cara Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan tahanan semakin bertambah baik.
"Sudah tentu banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki, kita sentiasa berusaha dari masa ke masa untuk menambah baik perkara tersebut," katanya.
Acryl Sani berkata, pihaknya mengalu-alukan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk menyiasat apa juga insiden salah laku anggota dan pegawai PDRM.
"Kita berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.
Dalam kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini telah mengarahkan PDRM dan pihak berkuasa terbabit untuk memulakan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kematian dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada 18 April dan 20 Mei lalu.
Siasatan itu dibuat mengikut prosedur serta tatacara seperti ditetapkan oleh perundangan negara.
Kenyataan itu menyebut, KDN melalui PDRM juga bersedia untuk terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) mengenai penahanan suspek dalam lokap dari masa ke masa bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!