23 cawangan LZS ditutup sepanjang PKP penuh
SHAH ALAM - Ibu pejabat dan 23 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan ditutup bermula esok hingga 14 Jun, berikutan Sekatan Pergerakan Penuh yang diumumkan oleh kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.
LZS dalam kenyataan pada Isnin berkata, penutupan itu tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan bulanan untuk asnaf sedia ada dan mereka akan tetap menerima bantuan seperti biasa.
“Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membuat semakan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat boleh melayari ezo.zakatselangor.com.my.
Pembayaran zakat pula boleh dilakukan melalui transaksi dalam talian dengan melayari fpx.zakatselangor.com.my ataupun memuat turun aplikasi mudah alih Zakat Selangor secara percuma di Google Play Store untuk versi android dan Apple App Store untuk versi iOS," katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau live chat di www.zakatselangor.com.my yang beroperasi bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!