Tujuh lokasi sekitar Putrajaya ditutup untuk kawal pergerakan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tujuh lokasi di sekitar Putrajaya akan ditutup mulai esok susulan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, tujuh lokasi terlibat adalah Jalan P5 menghala keluar dan masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil (Presint 5), Jalan Resam menghala keluar dan masuk Presint 11, Jalan P11J menghala keluar dan masuk Cyberjaya (Presint 11).

Turut ditutup Jalan P14 menghala keluar dan masuk Sungai Merab Bangi (Presint 14), Pintu Satu menghala keluar dan masuk Presint 14, Jalan P7A, Bulatan Putrajaya Sentral dan Jalan P5 menghala ke Dengkil (Presint 5).

"Penutupan jalan ini bertujuan untuk memastikan kenderaan keluar masuk ke Putrajaya dapat dikawal bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dan memudahkan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR) yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau penutupan jalan menghala masuk Putrajaya dari Sungai Merab, di sini malam ini (Isnin).

Beliau berkata, penutupan jalan adalah perlu susulan Putrajaya merupakan laluan keluar masuk dari daerah Selangor antaranya Bangi, Puchong dan Sepang.

"Ia bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi mengekang perjalanan mereka supaya mengikut laluan SJR yang ditetapkan dengan surat kebenaran yang sah," katanya.

Mohd Fadzil berkata, pemeriksaan ketat akan dilaksanakan di setiap SJR dan individu yang tidak mempunyai surat kebenaran rentas akan diarah berpatah balik dan kompaun akan dikeluarkan kepada individu yang masih degil.

Selain itu, empat lokasi SJR sedia ada masih dikekalkan iaitu di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain SJR statik yang sedia ada, dua pasukan ‘Snap Check’ yang bertugas secara bergerak juga ditubuhkan yang mana kedua-dua pasukan ini boleh digerakkan ke lokasi yang mempunyai aliran kenderaan yang banyak.

Menurut beliau, jumlah kekuatan bagi pasukan tersebut terdiri daripada dua pegawai kanan dan 10 anggota.

"Lokasi Snap Check ini akan berubah-ubah mengikut kesesuaian bagi memastikan tiada pergerakan bebas keluar dan masuk di Putrajaya terutama di jalan pintas," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!