Mencari titik perdamaian

Kita perlu mencari perdamaian antara kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan bagi memenuhi keperluan asas manusia.
Kita perlu mencari perdamaian antara kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan bagi memenuhi keperluan asas manusia.
A
A
A

PADA tanggal 5 Jun, kita akan meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bagi menunjukkan keprihatinan dan kecintaan kepada alam sekitar. Namun, sambutan itu tidak membawa erti jika alam sekitar berterusan diteroka dengan rakus, dicemari dan dimusnahkan sewenangnya.

Kesan pembangunan terhadap alam sekitar kian menular dan bukti-bukti kemerosotan semakin jelas kelihatan. Perkembangan itu menimbulkan kerisauan. Masalah alam sekitar semakin serius dan perlu ditangani segera.

Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 adalah asas kepada pengurusan alam sekitar di Malaysia.

DASN bertujuan mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar ke dalam aktiviti pembangunan dan proses membuat keputusan berkaitan, memupuk pertumbuhan ekonomi serta kemajuan manusia jangka panjang dan melindungi serta memperbaiki alam sekitar.

Ia melengkapi dan menambah dimensi alam sekitar yang terkandung dalam dasar kebangsaan yang lain seperti dasar perhutanan dan perindustrian.

Penubuhan Kementerian Air dan Alam Sekitar melalui agensinya iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula membolehkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia lebih cekap serta berkesan.

Fungsi utama JAS adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling selaras dengan maksud AKAS 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Seksyen 37C, AKAS misalnya, memperuntukkan tangkapan ke atas pesalah alam sekitar tanpa waran bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat terpelihara daripada ancaman pencemaran, namun penguatkuasaannya masih boleh dipersoalkan.

Artikel Berkaitan:

Ternyata, semua itu hanya gah di atas kertas, seolah-olah semuanya digubal, diwarta dan ditubuhkan bagi menjamin status, kewujudan serta kemandirian alam sekitar dan komponennya dapat dipelihara dengan sewajarnya, namun ternyata nasib alam sekitar masih belum terbela sepenuhnya. Banyak telah dilakukan, namun di manakah silapnya?

Pindaan demi pindaan terhadap AKAS dengan matlamat menambahbaik kandungannya, antaranya mengenakan jumlah penalti lebih tinggi dan peningkatan hukuman, seolah-olah mencurah air ke daun keladi kerana tindakan itu tidak menjamin dan ‘menggerunkan’ penjenayah daripada terus mencemari dan ‘meratah’ dengan rakusnya pelbagai komponen alam sekitar.

Atas nama pembangunan, pertahanan kemurnian alam sekitar diketepikan. Satu persatu projek mega dibangunkan, seolah-olah tidak siapa peduli rintihan alam sekitar akibat kerakusan manusia yang mengejar pulangan berganda untuk kepentingan sendiri.

Pertumbuhan pesat dan berterusan sektor perindustrian serta projek pembangunan dijangka memberi kesan lebih ketara kepada kualiti alam sekitar sekiranya pihak pemegang taruh tidak memberi perhatian kepada elemen menjaga kelestarian alam sekitar.

Peningkatan aktiviti pertanian juga meningkatkan penggunaan racun sintetik yang sukar terurai secara semula jadi boleh mencemarkan alam sekitar.

Kita perlu mencari perdamaian antara kepentingan pemeliharaan alam sekitar bagi jangka masa panjang dan keperluan mendadak yang memaksa pembangunan bagi memenuhi keperluan asas manusia.

Kerjasama ampuh dan kesiapsiagaan pihak berkuasa menghukum mereka yang mencemar alam serta inisiatif memelihara dan memulihara sumber alam sedia ada juga ditagih.

Penglibatan aktif masyarakat juga dituntut agar generasi akan datang dapat hidup dalam ekosistem yang sempurna.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!