Tak boleh pilih vaksin untuk percepat proses suntikan
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan rakyat di negara ini memilih jenis vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah bertujuan untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, vaksin yang terbaik ialah vaksin yang paling cepat diberikan kepada rakyat.
Ini kerana katanya, walaupun formulasi berbeza-beza antara satu jenis dengan yang lain, fungsi vaksin adalah sama iaitu membina ketahanan badan melalui imuniti terhadap jangkitan.
“Ada vaksin yang sesuai diberikan untuk situasi tertentu seperti mereka yang mengandung, mengalami alahan dan sebagainya, ia akan ditentukan oleh pihak kesihatan.
“Jadi, adalah tanggungjawab bakal penerima vaksin supaya memberikan maklumat yang jujur dan telus supaya proses dan aktiviti vaksinasi berjalan lancar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal USIM, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed pula berkata, stok vaksin adalah terhad disebabkan seluruh dunia bersaing untuk mendapatkannya.
Tambah beliau, faktor kewangan turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan vaksin.
“Namun dengan jumlah pendaftaran dan ketidakhadiran individu yang diberikan janji temu untuk pemberian vaksin amat mengecewakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, individu yang tidak hadir setelah diberikan janji temu telah menyumbangkan pembaziran dan pengkhianatan kepada individu lain yang inginkan vaksin.
“Tindakan tersebut akan membantutkan usaha kerajaan untuk memberikan perkhidmatan vaksinasi yang optimum,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!