Hati-hati menderma ketika Covid-19
MERAK Jalanan tertarik dengan usaha rakan-rakan netizen yang cuba membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19.
Melalui posting di Facebook yang dilihat Merak Jalanan, sesiapa yang tidak dapat bekerja, hilang pendapatan dan kehabisan stok makanan boleh menghubungi mereka secara peribadi untuk mendapatkan bantuan.
Selain usaha kecil itu, Merak Jalanan perhatikan di kedai-kedai runcit, pasar raya, masjid, surau dan rumah ibadat turut disediakan bakul makanan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Bahkan, bakul-bakul makanan tersebut tidak pernah 'kering' kerana ada sahaja insan mulia yang menghulurkan sumbangan dengan meletakkan makanan dan barangan dapur.
Jika dihitung dari sekecil-kecil bantuan hingga bantuan daripada kerajaan, rakyat Malaysia masih makmur dengan usaha untuk membantu insan lain yang dalam kesusahan.
Cumanya dalam kemurahan hati rakyat Malaysia, perlu diingat bahawa golongan scammer masih ligat mencari peluang untuk 'mencuri' duit kita.
Mereka licik dengan pelbagai taktik menagih simpati - mengeksploitasi gambar-gambar yang meruntun jiwa untuk mempengaruhi penderma menghulurkan wang.
Untuk memastikan wang derma sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, hulurkanlah wang tersebut kepada agensi yang bertauliah seperti lembaga zakat dan NGO yang terbukti telus menghulurkan bantuan kepada insan memerlukan.
Agensi zakat misalnya mempunyai pasukan khas yang sentiasa turun padang mencari golongan susah di lapangan dan dapat menentukan sama ada golongan tersebut benar-benar memerlukan bantuan atau tidak.
Selain dapat membantu golongan sasar, membantu melalui agensi sah dapat mengurangkan kes-kes penipuan derma ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!