E-dompet ditingkatkan ke RM150 di bawah program e-Belia
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan meningkatkan nilai e-dompet dari RM100 kepada 150 kepada golongan belia menerusi program e-Belia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut akan memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun hingga 20 tahun dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa.
“Program e-Belia merupakan inisiatif Belanjawan 2021 yang ditambah baik melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang mana nilai kredit telah ditingkatkan dari RM100 ke RM150 bagi setiap penerima.
“Ini akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai (cashback) dan mata ganjaran (reward points).
“Program ini juga turut mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai,” katanya.
Belia berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program e-Belia menerusi perkongsian Facebook Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa.
Hadir sama Tengku Zafrul; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pengarah Eksekutif BigPay, Salim Danani; Ketua Pengarah Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah; Ketua Pengarah Eksekutif Touch n Go E-Wallet, Ignatius Ong dan Ketua Pengarah Eksekutif Shopee Pay, Alain Yee.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyifatkan golongan belia sebagai penggerak utama usaha dalam memacu dan menjayakan usaha pendigitalan di negara.
Beliau berkata, ia berikutan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia.
“Warga digital ialah golongan muda yang berumur antara 15 hingga 24 tahun, yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya 5 tahun.
“Malah warga ini juga merangkumi 13.4 peratus atau lebih daripada 3.9 juta penduduk Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!