'Mustahil kembali ke Chelsea'
PEMAIN sayap Real Madrid, Eden Hazard menafikan spekulasi bahawa dia akan meninggalkan pasukan gergasi Sepanyol itu untuk kembali ke Chelsea musim depan.
Menurut Hazard, dia mahu terus kekal di kelab tersebut dan membuktikan keupayaan selepas dipalit dengan beberapa siri kecederaan sebelum ini.
"Saya masih memiliki kontrak tiga tahun dengan Real Madrid, jadi kembali ke pasukan di Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah perkara yang sangat mustahil.
"Semua orang tahu bahawa dua tahun pertama saya tidak bagus, jadi saya ingin bangkit dan membuktikan keupayaan diri di Real Madrid. Saya akan melakukan segalanya untuk melakukannya," katanya.
Terdahulu, pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan mahu meninggalkan Real selepas gagal menyinar sejak dibeli daripada Chelsea pada 2019 yang lalu.
Hazard lebih banyak diketepikan akibat kecederaan yang berulang dan hanya bermain sebanyak 43 kali selain meledak lima gol dan lapan bantuan gol untuk kelabnya itu.
Dalam masa sama, pemain kelahiran Belgium itu juga berjanji akan menampilkan persembahan lebih baik musim depan apatah lagi telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
"Ia sangat berbeza daripada apa yang saya lalui terutama dengan kecederaan dan tuah yang tidak memihak saya sejak berpindah ke sini. Namun, sekarang saya hampir berada pada tahap terbaik saya dan akan melakukan apa jua yang terdaya untuk mengelakkan kecederaan," katanya,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!