Hamas sedia berunding dengan Israel
BANDAR GAZA - Hamas sedia melakukan rundingan secara tidak langsung berhubung isu pertukaran tahanan dengan Israel selepas gencatan senjata dipersetujui antara kedua-dua pihak pada bulan lalu, kata pergerakan tersebut pada Isnin.
"Kini terdapat peluang yang nyata untuk menggerakkan isu ini," kata Ketua Politik Hamas, Yahya Sinwar ketika memberikan kenyataan balas kepada AFP yang bertanya tentang kemungkinan pertukaran tahanan berlaku antara kedua-dua pihak.
"Kami bersedia untuk (melakukan) rundingan secara tidak langsung, segera dan pantas bagi merumuskan isu itu," tambahnya.
Sinwar membuat kenyataan ketika Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel melawat Gaza yang didiami oleh kira-kira dua juta penduduk.
Kamel berusaha untuk memantapkan lagi gencatan senjata antara rejim Zionis dengan Hamas itu yang sebelum ini dikuatkuasakan pada 21 Mei lalu selepas kedua-dua pihak bertempur sehingga mengakibatkan lebih 200 penduduk di Palestin terkorban dan lebih 1,900 lagi cedera. Serangan balas roket Hamas pula menyebabkan 12 orang di Israel terbunuh.
Mesir menjadi pengantara dalam gencatan senjata tersebut.
Seorang pegawai Hamas yang enggan namanya didedahkan berkata, rundingan antara kedua-dua pihak itu menumpukan kepada tiga perkara iaitu mahu menjadikan gencatan senjata tersebut berkuatkuasa bagi tempoh yang lama, pertukaran tahanan dan pemulihan semula Gaza.
Dalam pada itu, Sinwar berkata, Hamas tidak mempunyai sebarang halangan untuk berbincang tentang pemulihan semula Gaza dan isu Gaza yang dikepung oleh Israel sejak sedekad lalu dan rundingan mengenai pertukaran tahanan dengan Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!