Sasar pembayaran tanpa tunai semua perkhidmatan menjelang 2022

Muhyiddin pada Program eBelia iaitu inisiatif Belanjawan 2021 secara maya pada Selasa. - Foto Bernama
Muhyiddin pada Program eBelia iaitu inisiatif Belanjawan 2021 secara maya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bakal menerapkan aspek digitalisasi dengan menyasarkan pembayaran tanpa tunai bagi semua perkhidmatan menjelang tahun 2022.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia dapat dicapai berikutan sebanyak 60 peratus jumlah kutipan kerajaan pada tahun lepas adalah melalui kaedah e-payment.

“Seiring dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan telahpun mula menerapkan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusan.

“Ini termasuklah menyasarkan pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi semua perkhidmatan menjelang tahun 2022. Justeru, orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang untuk membuat urusan bayaran di mana-mana kaunter perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Belia berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program eBelia menerusi perkongsian Facebook Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Selasa.

Hadir sama, Tengku Zafrul; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pengarah Eksekutif BigPay, Salim Danani; Ketua Pengarah Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah; Ketua Pengarah Eksekutif Touch n Go E-Wallet, Ignatius Ong dan Ketua Pengarah Eksekutif Shopee Pay, Alain Yee.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) turut dirangka bagi memastikan kesalinghubungan mencapai misi pendigitalan negara serta visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu teras di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia adalah bagi mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.

Artikel Berkaitan:

“Dengan perubahan norma hidup ekoran pandemik Covid-19, kita dapat lihat pelbagai aspek kehidupan harian kita secara sedar dan tidak disedari telah beralih kepada pendigitalan dan juga automasi.

“Pandemik yang melanda mempercepatkan peralihan ini berlaku di seluruh dunia termasuk di negara kita.

“Kini hampir segala urusan dilakukan dalam talian, daripada interaksi semuka secara maya, mesyuarat, seminar, pembelajaran di sekolah, kuliah dan tutorial, apatah lagi urusan perbankan termasuk membeli-belah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!