Tekong, kru bot ditahan guna pukat tunda
LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah menahan sebuah bot nelayan tempatan dan merampas lebih 50 kilogram hasil tangkapan atas kesalahan melanggar syarat sah lesen di kedudukan 2.4 batu nautika barat laut Pangkor Utara, di sini pada Isnin.
Pemeriksaan sekitar jam 5.40 pagi itu turut menahan seorang tekong dan kru berusia 35 dan 60 tahun.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dibuat berikutan pengesanan oleh bot ronda mengenai sebuah bot nelayan tempatan kelas B yang dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Pulau Pangkor.
"Bot nelayan tempatan yang berpengkalan di Pantai Remis Perak itu dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan.
"Dua lelaki yang berada di dalam bot itu ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 8.0 batu nautika mengikut syarat sah lesen," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, semua yang ditahan bersama 50 kilogram hasil tangkapan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!