Peguam diberi pengecualian hadir ke mahkamah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju memberi pengecualian kepada peguam untuk hadir ke mahkamah bagi mewakili anak guam mereka sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown' selama dua minggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kehadiran secara fizikal itu hanya melibatkan pertuduhan baharu, penahanan perintah reman dan permohonan jenayah pelbagai.

"Kebenaran untuk ke mahkamah bagi peguam yang mewakili anak guam bagi kes tersebut ini boleh diperoleh daripada balai polis berdekatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju supaya firma guaman yang terlibat dengan perkhidmatan guaman korporat dan conveyancing bagi sektor perkhidmatan perlu untuk memohon kebenaran beroperasi mengikut syarikat, kilang atau perniagaan yang diwakili.

"Dalam hubungan ini, firma guaman yang mewakili syarikat, kilang, perniagaan ini boleh memohon kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0," katanya.

Beliau berkata, para peguam boleh merujuk prosedur operasi standard (SOP) Perkhidmatan Guaman Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semua pihak diminta patuh kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama berkuat kuasa agar objektif untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dapat dicapai," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan sektor perkhidmatan guaman tidak tersenarai di bawah kategori perkhidmatan perlu sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama dari 1 hingga 14 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

Ia bermakna aktiviti-aktiviti perkhidmatan guaman adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!