4 juta pengguna, 36,000 peniaga daftar e-dompet

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan berharap momentum positif dapat diteruskan menerusi program e-Belia sebagai kesinambungan kepada program ePenjana dalam memacu peralihan digitalisasi kewangan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program ePenjana yang dilaksanakan pada tahun lepas menyaksikan pendaftaran empat juta pengguna e-dompet baharu malah lebih daripada 36,000 peniaga mendaftar dengan penyedia e-dompet.

“Pada masa kini, pelbagai aspek kehidupan harian kita telah beralih kepada aplikasi digital bagi mempermudah dan mempercepatkan pelbagai perkara.

"Ini termasuklah cara kita membuat pembelian, sama ada menerusi platform dalam talian atau di kedai-kedai melalui bayaran tanpa tunai,” katanya dalam ucapan pelancaran program e-Belia secara maya pada Selasa.

Hadir sama dalam program tersebut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pengarah Eksekutif BigPay, Salim Danani; Ketua Pengarah Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah; Ketua Pengarah Eksekutif Touch n Go E-Wallet, Ignatius Ong dan Ketua Pengarah Eksekutif Shopee Pay, Alain Yee.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, melalui tinjauan umum baru-baru ini, pihaknya mendapati orang ramai menggunakan lebih daripada satu e-dompet.

Beliau berkata, penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam e-Belia secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih satu juta peniaga sama di dalam dan di luar talian.

“Jaringan yang kukuh dan luas ini juga membolehkan program e-Belia ini dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara dan mencapai lebih ramai belia dan pelajar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Memandang ke hadapan, beliau berkata, kerajaan akan mengutamakan belia dalam merangka Belanjawan 2022, di mana proses perangkaannya sudah pun bermula.

“Seperti tahun lalu, kita juga akan mengadakan sesi libat urus dengan golongan belia bagi merangka Belanjawan 2022,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta juga perlu diteruskan khususnya dalam menjayakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

“Program e-Belia juga tidak akan berjaya tanpa kerjasama penuh dari syarikat penyedia e-dompet dan beberapa kementerian yang terlibat.

“Ini termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Masing-masing telah membantu pihak Kementerian Kewangan (MOF) dari sudut komunikasi program serta pengurusan data bagi menjayakan program ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!