Polis rampas senjata api tiruan bernilai RM60,000
KOTA KINABALU - Polis merampas 151 set pelbagai jenis senjata api tiruan dari sebuah premis kompleks beli-belah di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata turut dirampas 283 unit komponen senjata api tiruan berkenaan.
Berikutan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
Habibi berkata tangkapan dan rampasan itu adalah hasil serbuan polis pada kira-kira pukul 3.30 petang.
"Senjata api tiruan itu ditemui di tingkat dua bangunan berkenaan selepas polis membuat pemantauan terhadap suspek selama 15 minit sebelum mengekorinya ke tingkat dua di mana senjata-senjata api tiruan itu ditemui tersimpan dalam kotak," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Habibi berkata nilai rampasan dianggarkan RM60,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 35(1)Akta Senjata 1960.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak menyimpan, memiliki atau menjual apa-apa senjata api tiruan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.
Selain itu, beliau meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak individu atau kumpulan yang mencurigakan membawa senjata api di tempat awam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!