Johor Bahru lengang hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh
JOHOR BAHRU- Lengang! Itulah gambaran yang dapat diberikan terhadap keadaan bandar raya Johor Bahru pada hari pertama pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown'.
Tinjauan Sinar Harian dilakukan pada sebelah pagi mendapati bilangan kenderaan yang berada di atas jalan raya di bandar raya ini turut berkurangan.
Aktiviti perniagaan terutama melibatkan pusat membeli belah seperti di Jalan Wong Ah Fook dan Taman Abad masih dibuka namun hanya pasar raya dan kedai menjual makanan yang beroperasi mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pemandu teksi, Md Talib Amin, 78, berkata, lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai di hadapan Pejabat Pos Besar dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kelihatan sepi.
Katanya, kebiasaannya jalan di hadapan Pejabat Pos Besar dan MBJB sentiasa dipenuhi kenderaan selain orang ramai yang berurusan di dua agensi berkenaan.
"Tidak pernah lengang macam ini, tiada kenderaan yang melaluinya kecuali bas awam dan beberapa lori," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tinjauan di sebuah pusat beli belah di Taman Abad pula mendapati, suasana turut sunyi dan lengang.
Walaupun pasar raya dibuka, namun tidak ramai pengunjung yang datang untuk membeli barang keperluan terutama makanan berbanding pada Isnin.
Anggota polis dan pekerja pasar raya dilihat memantau kehadiran orang ramai yang berkunjung terutama dalam memastikan mereka mengimbas aplikasi MySejahtera dan mengamalkan penjarakan fizikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!