Kerana politik, Syed Saddiq sanggup aniaya rakan: Asyraf Wajdi
SEMENYIH - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal dengan tindakan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman yang sanggup menganiayai rakan sendiri kerana politik.
Menurutnya, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo merupakan sahabat Menteri Belia dan Sukan itu namun Syed Saddiq sanggup membuat laporan palsu sehingga menyebabkan Papagomo meringkuk dalam lokap.
“Saya nak ingatkan pada sahabat saya sebenarnya, Syed Saddiq, beliau pun berkawan rapat dengan Azri. Sebab itu Azri pergi dekat dengan dia, peluk dia, bukannya cekak.
“Pegang bahu dia saja, cakap secara kawan sebab mereka memang kawan baik. Tapi sebabkan politik, Syed Saddiq sanggup untuk meleburkan ikatan persaudaraan ini.
“Menganiayai sahabatnya sendiri, buat laporan palsu kononnya boleh mendapat mileage (kelebihan) politik,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah penduduk di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, di sini, pagi tadi.
Tambahnya, jika benar Papagomo bersalah, dari awal lagi beliau tidak akan menyokong tindakan Exco Pemudanya itu namun terbukti dia tidak melakukan apa-apa yang boleh mencederakan Syed Saddiq.
“Bukan seperti lakonan Syed Saddiq siap pergi lapor polis, buat pemeriksaan kesihatan kata kena cekak. Bila menteri buat laporan seperti itu, tentulah pihak berkuasa pandang serius.
“Akhirnya kesan penganiayaan kepada Papagom. Saya akan pastikan laporan polis balas dibuat bahkan telah dibuat pun,” ujarnya.
Meskipun isu tersebut hangat diperkatakan namun Asyraf Wajdi menegaskan beliau masih bersangka baik dengan apa terjadi.
“Mungkin dia tertukar sebab nampak PSM (Parti Sosialis Malaysia) dan BN dalam kawasan sama. PSM pun warna merah, mungkin masa itu dia tak tengok logo, tengok warna.
“Saya masih lagi bersangka baik, dia mungkin tertukar warna merah PSM dengan warna merah PH,” ujarnya.
Begitupun, pemimpin UMNO itu berpendapat, sekiranya Syed Saddiq tersilap masuk kawasan, beliau boleh akui kesilapannya.
“Dia boleh akui kesilapan tapi tidak sampai menganiaya orang lain.
“Membuat laporan polis palsu walhal dia tidak diapa-apakan walau sikit oleh mana-mana pihak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!