Pegawai perubatan rugi RM170,000 ditipu Phone Scam

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

Gombak - Seorang pegawai perubatan mengalami kerugian RM170,000 selepas diperdaya dengan sindiket Phone Scam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita berusia 53 tahun itu mendakwa ditipu individu yang menghubunginya dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi kerajaan.

"Suspek memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai dan mungkin ada pihak telah menyalahgunakan butiran dirinya bagi mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas nama syarikat yang didakwa mempunyai tunggakan cukai itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Arifai berkata, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai polis.

"Suspek mendakwa semakan ke atas nombor kad pengenalan mangsa mendapati dia mempunyai rekod terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang panik kemudian telah diminta untuk menyerahkan butiran akaun yang dimiliki serta kata laluan bagi perbankan dalam talian bagi tujuan semakan.

"Mangsa juga diminta menukar had pengeluaran bagi akaun miliknya dan turut diarah memasukkan wang ke beberapa akaun ketika berada di bank," katanya.

Arifai berkata, mangsa mendakwa perbualan telefon dengan kesemua suspek berlangsung hampir beberapa jam.

Artikel Berkaitan:

"Semasa perbualan mangsa diminta merahsiakannya serta menjauhkan diri dari mana-mana pihak.

"Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya apabila menceritakan hal yang berlaku kepada ahli keluarga sebelum dinasihatkan membuat laporan polis," katanya.

Arifai menasihati orang ramai sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Orang ramai perlu menyemak dengan pihak berkuasa bagi memastikan kesahihan panggilan yang diterima," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!