Jangan beri kelonggaran perkhidmatan tidak perlu: ABIM

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak berkuasa bertindak lebih tegas dengan tidak memberi kelonggaran terhadap kegiatan-kegiatan di luar bidang perkhidmatan perlu yang justifikasi pengoperasiannya menimbulkan persoalan.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, gesaan ini dibuat berdasarkan keluhan serta persoalan diutarakan rakyat yang sedaya upaya mengehadkan kegiatan harian mereka untuk mematuhi keperluan penjarakan fizikal dan kebersihan kendiri.

“Ini adalah kelemahan utama yang tidak boleh diulangi pihak berkuasa kerana ia akan mengakibatkan kejatuhan sosioekonomi rakyat secara total jika Sekatan Pergerakan Penuh kali ini gagal berperanan seperti yang disasarkan.

“Untuk itu, ABIM juga menegaskan pentingnya aspek tata kelola baik dan ketelusan diaplikasikan untuk menjaga kebajikan serta kepentingan rakyat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Muhammad Faisal menambah, sudah tiba masanya setiap dasar yang dirangka serta keputusan yang dilaksanakan harus bersifat bipartisan.

“Ini kerana negara ini berada di persimpangan yang memerlukan semua pihak khususnya wakil rakyat sama-sama berperanan.

“Maka, keputusan demokratik yang telus termasuk menerusi sidang Parlimen amat perlu bagi memastikan tiada ketirisan serta unsur penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan setiap sumber daya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa sama ABIM juga akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan dalam memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan serta golongan yang memerlukan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!