Berek terbakar, 16 anggota PGA hilang tempat tinggal
SIBU - Seramai 16 anggota bujang Batalion ke-12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang hilang tempat tinggal selepas blok berek kediaman mereka di Blok S (Kelas H) Kompeni C musnah dalam kebakaran pagi Selasa.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, sembilan daripada anggota itu yang berada di berek tersebut semasa kejadian jam 5 pagi sempat menyelamatkan diri manakala tujuh lagi anggota terlibat dalam beberapa operasi berjadual.
"Berek yang keseluruhannya diperbuat daripada kayu kecuali bahagian dapur itu memudahkan lagi api merebak dengan lebih cepat. Sebuah kereta dan tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran tersebut selain peralatan peribadi mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat, sementara bantuan segera telah diberikan kepada mangsa hasil sumbangan Kelab Polis, Tabung Surau Darul Ibadah serta Persatuan Keluarga-keluarga Polis Kompeni C Batalion 12 PGA Limbang.
“Kesemua mangsa terlibat ditempatkan sementara di blok berek yang masih kosong di Kompeni C dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dihubungi bagi mendapatkan bantuan untuk mangsa,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!