Isu penahanan 'Dr Nur' masih dalam siasatan: Hishammuddin
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kesahihan isu ‘Dr Nur’ ditahan oleh pihak Israel seperti yang tular di media sosial masih dalam siasatan walaupun laporan awal siasatan menunjukkan apa yang dibangkitkan boleh diragui.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segala maklumat yang diterima kementerian telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
“Semua sedia maklum isu berkaitan rakyat kita yang berada di sana (Gaza) dan yang berkaitan dengan Israel bercampur baur dengan emosi, dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita hanya boleh membuat pendirian bersandarkan kepada fakta.
“Fakta itu akan kita rumuskan selepas siasatan dilakukan oleh agensi-agensi yang berkenaan dalam kes ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen “Pengumpulan Dana Bantuan Kemanusiaan, Dari Malaysia Untuk Palestin” yang diadakan secara maya pada Selasa.
Wisma Putra sebelum ini menggesa individu serta pemilik akaun Instagram (IG) @iesya_toh dan @nurhelizahelmi untuk tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan ‘Dr Nur’ selepas perkongsian mengenai penahanan warga Malaysia itu oleh pihak Israel tular di media sosial.
Ini berikutan Wisma Putra tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr Nur’, sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya.
Menurut Wisma Putra, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama ‘Dr Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.
Mengenai misi kemanusiaan Ustaz Ebit Lew ke Gaza, Hishammuddin berkata, pendakwah terkenal itu sentiasa berhubung dengan beliau bagi menyampaikan perkembangan terkini misi itu.
Misi berkenaan berjalan lancar dan pendakwah itu bersama delegasinya turut membantu kementerian untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan sebenar di Semenanjung Gaza.
“Kita pantau sebaik mungkin dan saya percaya delegasi beliau selamat dan akan pulang tidak lama lagi.
“Bagi kita di kementerian, yang paling penting adalah maklumat balas daripada dia dan delegasi, apa agaknya cara yang terbaik untuk kita salurkan bantuan secara langsung kepada mereka yang betul-betul memerlukan di Palestin.
Hishammuddin berkata Wisma Putra juga tidak teragak-agak untuk membantu mana-mana gerakan yang ikhlas dan tiada kepentingan lain yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada Palestin.
Menurut laporan media, Ebit dan delegasinya yang berlepas ke Mesir pada 25 Mei berjaya memasuki Gaza pada Sabtu lepas bagi menyerahkan bantuan, antaranya barangan keperluan dan ubat-ubatan kepada hospital di Gaza.
Misi berkenaan mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa yang perlu dipatuhi termasuk apabila kembali ke Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!