PKP 3.0: Kerajaan masih buat anggaran impak
KUALA LUMPUR - Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan terjejas selepas banyak industri ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kerajaan masih membuat anggaran impak dan mungkin ada semakan.
''Ia masih terlalu awal. Kita perlu menganalisis keadaan umum untuk melihat apa dan berapa banyak sektor dan syarikat yang masih dibuka.
''Kita juga perlu melihat kesan fasa kedua dan membuat unjuran sepanjang tahun,'' katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa selepas ditanya mengenai hutang berkanun negara yang berada pada 58.5 peratus susulan pengumuman mengenai pakej bantuan Pemerkasa Tambahan pada Isnin.
Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang menyatakan bahawa kedudukan kewangan negara adalah agak mencabar berkata, ini disebabkan negara berada dalam krisis sekarang ini tetapi terdapat wang untuk membiayai belanjawan itu iaitu melalui peningkatan pinjaman.
“Itulah sebabnya jangkaan belanjawan defisit negara telah melepasi apa yang telah kita ketepikan sebagai bajet... ketika ia diumumkan di Parlimen pada November tahun lalu. Ia adalah 5.4 peratus dan saya baru-baru ini menyemaknya semula kepada 6.0 peratus.
''Memandangkan keadaan tersebut, saya fikir ia akan naik terutamanya apabila anda melihat kepada KDNK, yang mungkin akan disemak semula ke bawah,'' katanya lagi.
Dalam mengumpul dana bagi membiayai pakej rangsangan, salah satu pilihan adalah untuk menjimatkan perbelanjaan negara, mengawal atau mengutamakan semula beberapa perbelanjaan.
Kedua, kerajaan boleh melihat kepada barisan hasil teratas, untuk melihat sama ada terdapat lebih banyak dividen atau pendapatan daripada ekosistem kerajaan yang merangkumi badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.
Ketiga, yang telah dilakukan oleh kerajaan dan mungkin terus dibuat adalah dengan menambah hutang.
''Sekarang sudah masuk bulan Jun dan kita boleh melihat semula bagaimana kita berbelanja untuk sepanjang baki tahun. Apa yang penting, kita akan terus mengeluarkan wang kepada rakyat dan perniagaan sebanyak yang kita mampu,'' katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!