Operator kilang cedera dilibas parang
KLANG - Seorang operator sebuah kilang cedera akibat dilibas dengan parang oleh rakan sekerjanya di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, seorang lelaki berusia 25 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa kerana selalu bertukar syif bekerja.
"Suspek baharu sebulan bekerja manakala mangsa berusia 34 tahun merupakan pekerja lama di syarikat itu sejak tahun lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Shamsul Amar berkata, ketika pergaduhan mulut berlaku di antara kedua mereka, tiba-tiba suspek melibas parang dan terkena tangan kanan mangsa yang cuba menahan senjata itu.
"Polis telah menahan suspek di sebuah rumah di Pelabuhan Klang pada jam 12 tengah hari, Selasa.
"Kita turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek dalam kes itu," katanya.
Shamsul Amar memaklumkan suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!